Pekerja pembinaan mengggunakan telefonnya berhampiran papan iklan 1MDB di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. - Foto Fail/REUTERS
Pekerja pembinaan mengggunakan telefonnya berhampiran papan iklan 1MDB di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. - Foto Fail/REUTERS
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lembaga pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) secara kolektif memutuskan menawarkan perletakan jawatan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan berikutan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Lembaga pengarah itu berkata, ia berjaya membawa 1MDB melalui suatu tempoh unik yang mencabar dan percaya Laporan PAC boleh menjadi titik pengakhiran dakwaan palsu terhadap syarikat.

"Bagaimanapun, berdasarkan hasil Laporan PAC tersebut, lembaga pengarah secara kolektif pagi ini memutuskan untuk menawarkan perletakan jawatannya kepada Menteri Kewangan Diperbadankan, yang merupakan 100 peratus pemegang saham 1MDB.

"Ini adalah keputusan sukar untuk diambil tetapi kami percaya ia langkah yang betul dalam situasi ini, bagi memudahkan sebarang siasatan susulan seperti dicadangkan PAC," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, laman web 1MDB menyenaraikan enam anggota lembaga pengarahnya iaitu Pengerusi Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, Presiden dan Pengarah Eksekutif Arul Kanda, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi serta Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin J Valiram.

Menurut kenyataan itu, lembaga pengarah melihat Laporan PAC ini sebagai dokumen menyeluruh dan muktamad yang menyatakan fakta dengan jelas dan menyangkal pelbagai dakwaan berkenaan syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 7:08 PM