FOTO Reuters
FOTO Reuters
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Mesyuarat pertama ahli lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) baharu akan berlangsung Khamis ini, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan dihadiri tiga ahli lembaga pengarah 1MDB yang baharu iaitu Setiausaha Peribadi Kanan kepada Ketua Setiausaha Negara, Datuk Norazman Ayob dan Ketua Pegawai Operasi Prokhas Sdn Bhd, Datuk Kamal Mohd Ali.

Malah, katanya, beliau juga akan menghadiri mesyuarat berkenaan.

"Pada masa sama, Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy juga akan hadir mesyuarat ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan Cabaran Kod Kebangsaan 2016 iaitu pertandingan bagi Program Coding@schools di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Irwan Serigar berkata, antara agenda mesyuarat ialah meneliti dan menilai semula dari segi aset dan hutang 1MDB serta langkah rasionalisasi seperti yang dicadangkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 1:51 PM