Oleh Nazarali Saeril


Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dipanggil untuk memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 5 Ogos ini.

Pada masa sama, bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi pula dipanggil sehari sebelum itu. Kedua-duanya dipanggil secara berasingan untuk memberi penjelasan berkaitan 1MDB.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Kementerian Kewangan memaklumkan perkara berkenaan minggu lalu.

"Tiada alasan untuk kedua-dua individu berkenaan tidak hadir kali ini kerana notis enam hingga tujuh minggu sudah diberi kepada mereka.

"Surat berkenaan juga sudah diserah kepada Kementerian Kewangan dan 1MDB, saya percaya Arul Kanda serta Shahrul sudah menerimanya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Menurut Nur Jazlan, masa panjang pasti diambil untuk mendapatkan penjelasan daripada kedua-dua individu berkenaan dan kerana itu, kedua-duanya dipanggil secara berasingan.

"Pada masa sama, kedua-duanya juga bukan terbabit dengan 1MDB dalam masa yang sama sebaliknya Shahrul Ibrahim yang mula-mula dilantik sebagai CEO 1MDB sebelum Arul Kanda dilantik ke jawatan berkenaan.

"PAC juga memanggil mereka pada Ogos kerana mahu memberi masa untuk kedua-duanya menyiapkan diri dengan penjelasan yang perlu diberi," katanya.

Menurut Nur Jazlan, PAC juga akan memanggil bekas CEO 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman pada 6 Ogos.

"Bagaimanapun, kami belum hantar surat jemputan kepada Mohd Hazem berkaitan perkara ini. Selain itu, bekas Ahli Lembaga Pengarah 1MDB juga akan dipanggil secara berasingan bermula dengan Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Tan Sri Azlan Zainol secara bersama pada 17 Ogos.

"Lima lagi Ahli Lembaga Pengarah 1MDB juga akan dipanggil sehari kemudian, selepas itu barulah kami tetapkan siapa lagi yang perlu dipanggil," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nur Jazlan berkata, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang sudah memaklumkan akan bertemu dengan PAC 9 Julai ini.

"Beliau mengatakan laporan awal 1MDB akan siap hujung bulan ini dan sedia untuk bertemu dengan PAC pada 9 Julai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 5:13 PM