RAZIP (kanan) memberi arahan ketika sesi latihan Pahang.
RAZIP (kanan) memberi arahan ketika sesi latihan Pahang.
Asrol Awang

Kuantan: Pahang yang gagal memberi impak dalam lima perlawanan Liga Super lalu mahu bangkit sekali gus mencipta kemenangan pertama mereka apabila melayan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Darul Makmur malam ini.

Namun, PDRM yang dikecewakan Johor Darul Ta’zim pada suku akhir Piala FA sudah pasti mahu meraih kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan terbaik dalam saingan liga.

Justeru, Razip Ismail yang mengambil alih tanggungjawab selaku ketua jurulatih baharu Pahang berdepan tugas sukar berdasarkan prestasi tidak menentu skuad kendaliannya itu.

Bagaimanapun katanya, beliau tiada pilihan iaitu akan memastikan kelebihan beraksi di halaman sendiri berakhir dengan kejayaan buat skuadnya itu.

“Sudah pasti saya mahukan kemenangan bertemu PDRM dan pada masa sama ini adalah perlawanan pertama saya.

“Oleh itu, saya harap persefahaman mantap dan aksi terbaik dapat dipersembahkan pemain untuk mencatat kemenangan pertama dalam saingan liga musim ini.

“Saya percaya jika pemain dapat melakukannya (menang), mereka akan yakin untuk beraksi lebih baik pada perlawanan seterusnya,” katanya semalam.

Selepas lima perlawanan, skuad Tok Gajah sekadar mengutip satu mata hingga Ahmad Shaharuddin Rosdi mengambil keputusan melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 7:45 AM