Oleh Asrol Awang

Kuantan: Jurulatih Zainal Abidin Hassan tidak memandang mudah pertemuan dengan PDRM dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.

Beliau mahu kesebelasan utama bijak memanfaatkan segala peluang dimiliki untuk membawa pulang mata memandangkan keputusan perlawanan dilihat seimbang.

Katanya, beraksi di gelanggang lawan juga satu cabaran besar untuk melakar kemenangan ke atas PDRM yang sudah pasti mahu mengutip tiga mata berharga untuk merampas kedudukan liga.

“Saya harap Pahang mampu membawa pulang mata kerana saya lebih tekankan kepada aspek mempertahankan kedudukan selaku pendahulu liga.

“Oleh itu, pemain perlu menjalankan tugas sebaik mungkin bagi mengelak lawan merampas kedudukan itu kerana kami hanya dibezakan dengan dua mata,” katanya.

Pahang meneraju liga dengan 20 mata, diikuti PDRM dan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) berkongsi 18 mata dan Perak, Selangor serta FELDA United FC, 17 mata.

Ditanya beraksi kali pertama saingan Liga Super pada bulan Ramadan, Zainal yakin percaya pemainnya mampu mempamerkan persembahan terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 10:07 AM