Jalan Semarang yang ditukarkan kepada Jalan Mara pada Majlis Perasmian Sambutan Perdana 50 tahun MARA di Hotel Premiera, Menara MARA, hari ini. FOTO Saddam Yusoff
Jalan Semarang yang ditukarkan kepada Jalan Mara pada Majlis Perasmian Sambutan Perdana 50 tahun MARA di Hotel Premiera, Menara MARA, hari ini. FOTO Saddam Yusoff
Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur:Kerajaan mengumumkan lima inisiatif bagi memperkasa hala tuju Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi 50 tahun akan datang meliputi penubuhan MARA Corporation Berhad, Rural Capital Berhad dan UniMARA.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razaj berkata, selain itu kerajaan akan menubuhkan Yayasan MARA bagi menggantikan Yayasan Pelajaran MARA serta menukar nama Jalan Semarang yang terletak antara kompleks PERTAMA dan Bangunan MARA di sini kepada Jalan MARA.

Beliau berkata, menerusi inisiatif pertama, penstrukturan semula anak syarikat MARA dilakukan dan diletakkan di bawah satu syarikat dikenali sebagai MARA Corporation.

"Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ini diwujudkan dengan modal berbayar RM1.4 bilion dan semua anak syarikat diletakkan di bawah satu bumbung tanpa peruntukan tambahan kerajaan supaya lebih kemas dan teratur tadbir urusnya.

"Keduanya, MARA akan terus membantu komuniti usahawan untuk terus berdaya saing dengan menubuhkan Rural Capital Berhad yang menyediakanpelbagai kemudahan seperti khidmat nasihat keusahawanan dan ini sudah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

"Ketiganya, bagi membantu pembangunan modal insan MARA kini sudah ada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk kursus teknikal dan vokasional (TVET), maka UniMARA akan ditubuhkan.

"Inipun pada prinsipnya sudah dapat kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi. Dengan ini ramai pelajar kita dapat peluang melanjutkanpelajaran di UniMARAini dan mereka yang dapat peluang belajar di universiti terkemuka luar akan terus pembiayaan," katanya dalam ucapan perasmian Sambutan Perdana 50 Tahun MARA di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa.

Najib berkata, kerajaan juga akan menukar Yayasan Pelajaran MARA kepada Yayasan MARA bagi memantapkan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) iaitu memberi bantuan kebajikan lain seperti bantuan banjir dan kemarau dengan dana terkumpul setakat ini RM800 juta dan tidak hanya tertumpu kepada pelajaran sahaja

"Akhirnya sebagai simbol kewujudan MARA Jalan Semarang akan ditukar kepada Jalan MARA berkuatkuasa hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 8:52 PM