Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Jumlah kutipan Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) untuk gempa bumi Turkiye-Syria kini sudah mencecah RM50 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM40 juta daripada jumlah itu akan disalurkan kepada Turkiye, manakala bakinya RM10 juta untuk mangsa gempa bumi di Syria.

"Sebagai penghargaan, saya ingin menyebut senarai penyumbang walaupun sekecil-kecil nilai kita hargainya antaranya RM2,000 dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan terbesar ialah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang menyumbang RM 23.5 juta, Yayasan Albukhary (RM10 juta) dan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) turut menyumbangkan RM 4.4 juta.

"Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar antara yang terawal mengeluarkan derma iaitu sebanyak 2 juta dolar Amerika Syarikat (RM8.71 juta).

"Selain itu, Brahim's Dewina Group dan Malaysian Rubber Glove Manufacturers Association (MARGMA) masing-masing menyalurkan sumbangan barangan bernilai RM3 juta dan RM1.2 juta, YTL Corporation Berhad (RM2 juta) dan Yayasan Sime Darby (RM1.5 juta)," katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menurutnya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India Muslim melalui Yayasan Pendidikan Islam dan Kuala Lumpur Kepong Berhad juga masing-masing menyumbang RM1.5 juta dan RM1 juta.

"Tenaga Nasional Berhad, FGV Holdings Berhad, Berjaya Group dan IOI Corporation Berhad masing-masing menyalurkan sumbangan bernilai RM500,000.

"Turut menyumbang ialah Ranhill Holdings Berhad (RM300,000) manakala Microlink Solutions Berhad dan YHA Travel & Tours (M) SdnBhd masing-masing menghulurkan sumbangan RM100,000.

Menjelaskan mengapa Malaysia menyalurkan bantuan dan perhatian lebih kepada Turkiye, beliau berkata, ia sebagai membalas budi negara itu yang pernah membantu Malaysia sebelum ini.

"Selain kadar kerosakan berskala besar dan persahabatan istimewa bukan saja secara peribadi tetapi antara dua negara, Turkiye sebelum ini pernah memberikan bantuan langsung dan tidak langsung kepada usaha kerajaan mencecah ratusan juta ringgit.

"Ini jarang berlaku dalam hubungan dua hala kita dengan negara lain sebab itu Kementerian Luar mengambil inisiatif tambahan (kutipan dana)," katanya.

Untuk rekod, TBKLN untuk gempa bumi Turkiye-Syria diaktifkan bermula 10 Februari lalu hingga 23 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 2:58 PM