Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir (tengah) bersama wakil syarikat yang membayar zakat kepada MAINS semalam. Foto Ihsan MAINS.
Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir (tengah) bersama wakil syarikat yang membayar zakat kepada MAINS semalam. Foto Ihsan MAINS.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Sebanyak RM150 juta membabitkan kutipan zakat disasarkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menjelang akhir tahun ini bagi membantu golongan asnaf termasuk mangsa Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir, berkata, walaupun dalam keadaan situasi ekonomi yang tidak menentu akibat terkesan dengan pandemik Covid-19, namun pihaknya yakin sasaran itu boleh dicapai.

"Selain kita mengharapkan pembayaran zakat dari pihak syarikat dan sektor korporat, kutipan juga dibuat menerusi skim potongan gaji kalangan kakitangan penjawat awam yang kini mencecah 70 peratus.

"Saya berharap pihak yang belum menunaikan zakat supaya dapat menunaikan tanggungjawab itu bersama MAINS," katanya selepas Majlis Penyerahan Bayaran Zakat Syarikat-Syarikat Korporat 2021, di Klana Resort di sini, tadi.

Pada majlis itu, MAINS menerima wang zakat berjumlah RM745,209.12 membabitkan pembayaran oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) berjumlah RM95,335.79, FAMA Corporation Sdn Bhd (RM 83,914.33), Etika Family Takaful Berhad (RM 262,000), Etika General Takaful Berhad (RM240,000) dan Rural Capital Berhad (RM63,959).

Dalam pada itu, Dr Abdul Aziz berkata, pihaknya sudah mengagihkan sebanyak RM81.8 juta kepada golongan asnaf di negeri ini dalam tempoh dari Januari hingga Oktober lalu.

Beliau berkata, dalam tempoh sama juga, pihaknya turut menyalurkan bantuan sebanyak RM8.6 juta kepada golongan terkesan Covid-19.

"Zakat adalah satu instrumen penting dalam membantu ekonomi dan kesejahteraan umat Islam," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Abdul Aziz berkata MAINS sentiasa proaktif dalam memperkasakan pelbagai inisiatif berkaitan urusan bantuan zakat.

Menurutnya, dasar yang komprehensif sentiasa diperhalusi dengan teliti di setiap peringkat dan diterjemahkan dengan sebaiknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 2:58 PM