MUHAMMAD Afifi gembira berkongsi kejayaannya bersama ibu bapa.
MUHAMMAD Afifi gembira berkongsi kejayaannya bersama ibu bapa.
Mohd Sah Muda


Anak seorang pengusaha warung di Johor Bahru Muhammad Afifi Idris membuktikan latar belakang keluarganya bukan penghalang untuk cemerlang dalam pelajaran.

Dia berusaha dengan tekun untuk mencapai impiannya dan mengetepikan kehendak zaman remaja bagi mencapai impian sebagai pelajar terbaik

Ternyata usaha tidak pernah jemu itu akhirnya membuahkan hasil apabila anak kedua daripada tiga beradik itu menjadi penerima Anugerah Pengarah pada Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum, Majlis Konvokesyen Politeknik Mersing, kali keempat, baru-baru ini.

Muhammad Afifi berkata, dia perlu berusaha gigih mengubah masa depan keluarga selain membuktikan kepayahan ibu bapa membesarkannya terbalas.

“Saya sentiasa ingatkan diri untuk belajar bersungguh-sungguh kerana kami bukannya orang senang.

“Tanpa pelajaran, hidup saya tidak ke mana dan atas semangat untuk mengubah masa depan, saya rela mengetepikan keseronokan zaman remaja.

“Syukur impian untuk menjadi pelajar cemerlang akhirnya termakbul,” katanya yang memperoleh Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) 3.64.

Majlis penyampaian disempurnakan Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik Azizi Lin.

Seramai 179 graduan yang mengambil Diploma Teknologi Maklumat (rangkaian) dan Diploma Sains Kesetiausahaan menerima diploma masing - masing.

Muhammad Afifi yang program Diploma Teknologi Maklumat (Rangkaian) aktif dalam sukan sepak takraw dan pernah mewakili Majlis Sukan Politeknik Mersing hingga ke peringkat kebangsaan selain menjadi jawatan Naib Presiden Persatuan Pelajar Kelab Sepak Takraw Politeknik.

Dia yang bercita-cita menjadi pakar dalam bidang teknologi maklumat sedang dalam perancangan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi tidak lama lagi biarpun kini sedang bekerja bekerja di sebuah syarikat teknologi maklumat swasta di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 5:00 AM