AMINUDDIN tengah) menyerahkan mok cek dan trofi kepada Muhammad Syafiq, 19, (kanan) apabila dinobat sebagai Penyampai Syair Terbaik (Bukan Melayu). FOTO Noorazura Abdul Rahman
AMINUDDIN tengah) menyerahkan mok cek dan trofi kepada Muhammad Syafiq, 19, (kanan) apabila dinobat sebagai Penyampai Syair Terbaik (Bukan Melayu). FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


PELAJAR suku Tidung dari Tawau, Sabah, dinobat Penyampai Syair Terbaik (Bukan Melayu) sempena Festival Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Politeknik Malaysia Kali ke-17 (FESKEW 17) di Jitra, malam tadi.

Muhammad Syafiq Mohammad Irwanshah, 19, dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, Pahang, menang tempat menerusi syair nasihat irama Batu Belah.

Muhammad Syafiq berkata, dia tidak menyangka dapat memenangi pertandingan itu pada kali pertama penyertaan.

“Namun, minat saya terhadap nasyid sejak berusia 12 tahun sedikit sebanyak membantu saya dalam mempraktikkan puisi Melayu tradisional dalam dua minggu.

“Saya menawarkan diri untuk menyertai pertandingan ini kerana sangat berminat dengan sastera Melayu, walaupun saya bukan Melayu,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu, berkata dia akan terus memperjuangkan puisi dan sastera Melayu biarpun bidang terbabit berbeza daripada pengajiannya di POLISAS.

“Saya akui tidak dapat memahami setiap perkataan dalam syair yang saya dendangkan.

“Tapi, saya berusaha mencari orang lebih arif dalam bidang ini agar saya dapat menjiwainya,” kata pelajar semester tiga jurusan Diploma Elektronik (Komunikas).

Majlis penutupan FESKEW 17 dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pendidikan Politeknik, Dr Mohammad Naim Yaakub.

Hadir sama Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan Kedah, Datuk Aminuddin Omar.

Bagi kategori Penyampai Syair Terbaik kategori (Lelaki) menyaksikan Muhammad Alif Syahmi Mustafa Kamal Shah, 19, dari Politieknik Seberang Perai, Pulau Pinang menang tempat pertama dengan syair nasihat (Irama Narasi).

Kategori Wanita dimenangi pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Nur Nabihah Mohd Shukeri, 20, dengan syair defenesi orang berakal (Irama Perindu).

Pemenang tempat pertama menerima trofi, RM300 tunai serta buku keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka.

Selain pertandingan menyampai syair, festival tiga hari sejak Jumaat lalu itu turut mempertandingkan Lagu Puisi.

Selaku tuan rumah, POLIMAS meraih anugerah Ciptaan Puisi Terbaik dengan tajuk lagu Gemuruh Kersani Ku.

Anugerah Khas Juri milik Politeknik Kuching, Sarawak dengan lagu bertajuk Dayang Kasih Ayah Bonda.

Politeknik Kota Kinabalu, Sabah merangkul kategori persembahan terbaik dengan tajuk lagu Ku Rela Hati.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 10:10 AM