Abang Allahyarham Hairul Zaman Abdul Jalil, Muhammad Khairul Anam hadir bagi menerima sijil serta trofi yang disampaikan oleh Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid sempena Majlis Konvokesyen PSA kali ke-23, semalam. FOTO Ihsan PSA
Abang Allahyarham Hairul Zaman Abdul Jalil, Muhammad Khairul Anam hadir bagi menerima sijil serta trofi yang disampaikan oleh Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid sempena Majlis Konvokesyen PSA kali ke-23, semalam. FOTO Ihsan PSA
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Suasana hiba menyelubungi Dewan Al-Jazari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) apabila Anugerah Adiwira diberikan kepada waris Allahyarham Hairul Zaman Abdul Jalil yang terkorban ketika membantu rakan yang lemas pada Mac lalu.

Abang Allahyarham, Muhammad Khairul Anam hadir bagi menerima sijil serta trofi yang disampaikan oleh Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid sempena Majlis Konvokesyen PSA kali ke-23, semalam.

Muhammad Khairul Anam menzahirkan rasa syukur atas penganugerahan yang diberikan sebagai menghargai pengorbanan Allahyarham Hairul Zaman.

"Dia seorang adik yang baik dan pendiam. Dekat rumah tak banyak cakap tapi rakan-rakan kata Hairul mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi terutamanya sejak masuk PSA," katanya.

Turut hadir adalah Pengarah PSA, Dr Mohd Zahari Ismail; Timbalan Pengarah Akademik, Roseman Mat Jidin; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Dr Ahmad Aftas Azman serta ahli mesyuarat pengurusan PSA.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Sulaiha Suyut berkata, Hairul Zaman adalah anak yang baik dan tidak pernah timbulkan masalah.

Katanya, Allahyarham juga seorang pelajar yang cemerlang dan menerima pelbagai anugerah sejak sekolah rendah.

Allahyarham Hairul Zaman adalah pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal maut apabila cuba menyelamatkan rakannya yang lemas dalam kejadian yang berlaku di Bentong, Pahang pada 26 Mac.

Anugerah Adiwira yang julung kali diperkenalkan pada Majlis Konvokesyen PSA itu bertujuan menghargai keberanian dan pengorbanan mahasiswa.

Majlis Konvokesyen PSA kali ke-23 yang berlangsung pada 1 dan 2 Oktober itu membabitkan seramai 1,684 graduan ijazah sarjana muda, diploma dan sijil daripada Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Perdagangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 3:15 PM