Aida Adilah Mat

Shah Alam: Perenang negara Daniel Bego masih mencari rentak dan mengintai peluang melepasi syarat kelayakan ke Olimpik Rio Ogos ini.

Selepas bebas daripada tekanan pelajaran dan latihan amali dalam bidang fisioterapi, Bego berkata dia kini sudah boleh kembali fokus sepenuhnya terhadap sukan renang dan berharap mampu mencipta sesuatu ketika perenang muda semakin merapatkan jurang.

Belum memikirkan untuk bersara, Bego menamatkan saingan acara 50 meter gaya bebas di Kejohanan Renang Peringkat Umur Kebangsaan yang berlangsung di Pusat Akuatik Darul Ehsan di tempat ketujuh dengan catatan 24.62 saat manakala perenang Olimpik Welson Sim keempat melalui 23.97s.

Acara 50m lelaki gaya bebas bagi kategori terbuka di menangi perenang Selangor Yang Chan dengan 23.78s, manakala rakannya Jie Chan kedua, 23.89s dan Keith Lim ketiga, 23.91s.

“Pencapaian saya di kejohanan ini tidak seteruk difikirkan. Biarpun peluang untuk ke Olimpik dilihat tipis tapi saya sudah bebas daripada kekangan pelajaran dan latihan amali yang memberikan sedikit peluang untuk fokus terhadap latihan.

“Seandainya gagal untuk melayakkan diri tapi saya bangga melihat kejayaan perenang muda seperti Welson sebagai sesuatu yang sedang meningkat dan perkembangan yang menggembirakan buat sukan renang negara,” katanya yang meminati acara kuak kupu-kupu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:04 AM