FOTO Supian Ahmad
FOTO Supian Ahmad
Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak merampas barangan tiruan berjenama terkenal bernilai RM284,350.

Timbalan Pengarah KPDNKK Perak, Mohd Khalis Kasim, berkata rampasan adalah yang pertama bagi pihaknya membabitkan jualan barangan tiruan melalui perniagaan secara atas talian di negeri itu.

Katanya, pemeriksaan diketuai oleh Ketua Cawangan KPDNKK Tapah bersama sembilan penguat kuasa dan wakil Pemegang Cap Dagang ke premis menjual pakaian, peralatan rumah dan salun di Bidor, dekat sini, pada 10.50 pagi semalam.

"Pemeriksaan dilakukan selepas risikan enam bulan oleh pemilik Cap Dagang membabitkan penjualan pakaian dan aksesori tiruan yang mengunakan jenama terkemuka seperti Louis Vuitton, Chanel, Yves Saint, Laurent, Bottega Vanetta dan Gucci.

"Hasil pemeriksaan di lokasi yang ditempat di tingkat atas kedai menemui pelbagai barangan tiruan terbabit," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, lelaki berusia 20-an disoal siasat ketika operasi di tempat kejadian dan ditahan untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 1:39 PM