ANTARA baju tiruan yang dirampas KPDNHEP. FOTO IHSAN KPDNHEP
ANTARA baju tiruan yang dirampas KPDNHEP. FOTO IHSAN KPDNHEP
Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: Kelekaan suami isteri membungkus pakaian dipercayai tiruan menerima kejutan apabila dikunjungi tetamu tak diundang di Kampung Assam, Kuala Kubu Bahru, semalam.

Serbuan pada 11.30 pagi dilakukan sepasukan enam anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Kubu Bahru, Selangor dalam Ops Tiru.

Operasi yang turut disertai tiga wakil pemilik cap dagang turut memeriksa dua rumah yang disyaki dijadikan stor dan pusat pengedaran pakaian tiruan terbabit.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Tuan Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kegiatan di rumah itu sejak dua minggu lalu menerusi laman sosial seperti Facebook dan Instagram.

"Mereka menyasarkan jualan secara borong kepada individu yang menceburkan diri dalam perniagaan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Ketika serbuan dijalankan, anggota menemukan sejumlah 2,000 baju jenama terkenal dipercayai tiruan seperti Louis Vuitton, Chanel, Adidas dan Puma," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Tuan Muhamad Zikril Azan, dalam soal siasat pasangan terbabit membuat pengakuan sebagai pemilik premis berkenaan dan juga barangan yang disita.

Katanya, berikutan itu pihak KPDNHEP merampas barangan tiruan bernilai dianggarkan mencecah RM20,000 untuk siasatan mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.

"Kita percaya pakaian berkenaaan dijual pada harga borong sekitar RM20 hingga ratusan ringgit, dan diperolehi dari Vietnam dengan kos sekitar RM4 hingga RM30 sehelai.

"Pasangan berkenaan sudah menjalankan perniagaan sejak lapan bulan lalu dan mengakui permintaan tinggi daripada pelanggan mendorong mereka berbuat demikian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 6:14 PM