ANGGOTA KPDNKK merampas beg jenama tiruan dari satu daripada tiga stor yang diserbu, semalam.
ANGGOTA KPDNKK merampas beg jenama tiruan dari satu daripada tiga stor yang diserbu, semalam.
Mohd Azam Shah Yaacob


Kuala Lumpur: Lebih satu jam 30 minit diperlukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur untuk memecah tiga stor yang dikunci menggunakan kunci khas serta menjadi tempat simpanan ribuan barangan tiruan menggunakan jenama terkenal dalam Op Barang Tiruan dijalankan di Jalan Petaling, petang semalam.

Namun, tindakan itu berbaloi apabila sebanyak 117 beg tangan, dompet serta tali pinggang tiruan menggunakan jenama Goyard, Longchamp, Louis Vuitton, Gucci, Chanel, Hermes dan Yves Saint Laurent bernilai RM7,000 berjaya dirampas.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kuala Lumpur Wan Mhd Yusof W Taib berkata, operasi itu dijalankan atas aduan wakil cap dagangan jenama berkenaan di negara ini yang mengesan stor menjadi simpanan barangan berkenaan.

Katanya, bertindak atas aduan itu, pihaknya menyerbu lokasi berkenaan namun kehadiran mereka disedari oleh pemilik serta penjaga stor yang menguncinya dan melarikan diri.

“Kita terpaksa tunggu pemilik datang untuk membuka kunci berkenaan namun selepas 10 minit menunggu, kita ambil keputusan untuk memotong semua kunci berkenaan apabila tiada yang mengaku mengenali pemilik stor itu.

“Malah, penguat kuasa KPDNKK terpaksa bekerja keras untuk membuka stor berkenaan kerana ia dikunci menggunakan kunci khas yang setiap satunya mengambil masa sehingga 30 minit,” katanya.

Wan Mhd Yusof berkata, sebaik berjaya membuka, pihaknya menemui ribuan barangan tiruan dan merampas 117 beg tangan, dompet dan tali pinggang menerusi kenal pasti wakil cap dagang jenama berkenaan yang ikut serta dalam operasi terbabit.

Beliau berkata, semua berkenaan dirampas mengikut Seksyen 8(2), Akta Perihal Dagangan 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 5:23 AM