Pegawai   KPDNHEP melakukan rampasan terhadap barangan cetak rompak dijual di Bukit Bintang, semalam.
Pegawai KPDNHEP melakukan rampasan terhadap barangan cetak rompak dijual di Bukit Bintang, semalam.
Nor Azizah Mokhtar

KUALA LUMPUR: Lokasi pusat perniagaan digelar ‘Empayar Mat Bangla’ digempur lagi pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam.

Ternyata operasi berulang kali dilakukan pihak KPDNHEP sebelum ini tidak menggerunkan golongan peniaga warga asing ini yang terus menjalankan perniagaan menjual barangan cetak rompak kepada orang ramai di Bukit Bintang, di sini.

Bagaimanapun dalam operasi itu, semua peniaga di kawasan berkenaan sempat melarikan diri dengan meninggalkan gerai masing-masing.

Dalam operasi bermula jam 2 petang itu, pihak KPDNHEP Kuala Lumpur menyita pelbagai barangan tiruan berjenama terkenal bernilai RM63,500 dalam serbuan ke atas 14 premis di sekitar kawasan itu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri (KPPN), Low Swee Hon berkata, serbuan dijalankan susulan aduan diterima daripada pemilik jenama asal berhubung penjualan produk tiruan menggunakan jenama mereka di sekitar ibu negara.

“Antara barangan disita adalah baju, topi, selipar, jam tangan, beg galas, beg tangan, dompet, kasut, baju, seluar, tali pinggang, cermin mata gelap, semburan pewangi, fon kepala (headphone), bateri dan power bank.

“Ia membabitkan jenama Redbull, Adidas, Nike, Puma, Micheal Kors, Burberry, Gucci, Louis Vuitton, Prada, Chanel, Yves Saint Laurent, Beats, Samsung, Casio, G-Shock, Baby-G, Daniel Wellington dan Ray Ban,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, keseluruhan barangan disita berjumlah 3,530 unit dengan nilai dianggarkan RM63,500.

Serbuan membabitkan 31 pegawai dan anggota daripada KPDNHEP Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurut Low, semua premis diserbu tiada nama dan masing-masing tiada penjaga ketika serbuan dilakukan.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Harian Metro sebelum ini kerap mendedahkan aktiviti perniagaan barangan cetak rompak didalangi warga asing Bangladesh di kawasan tumpuan pelancong asing itu.

Mereka dikesan mendapatkan bekalan barangan cetak rompak dari negara asal pada harga murah sebelum dijual berlipat ganda di negara ini.

Walaupun operasi kerap dijalankan pihak berkuasa, golongan peniaga warga asing masih dapat meneruskan perniagaan di negara ini selain turut menggunakan khidmat tonto untuk menyalurkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 8:02 AM