PENGUAT kuasa KPDNKK merampas  barangan tiruan pelbagai jenama dalam serbuan, semalam.
PENGUAT kuasa KPDNKK merampas barangan tiruan pelbagai jenama dalam serbuan, semalam.
Mohd Azam Shah Yaacob

Kuala Lumpur: Sebanyak 2,011 unit pelbagai barangan tiruan berjenama terkenal bernilai RM89,905 dirampas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam Ops Barang Tiruan dalam satu serbuan di sebuah pusat beli belah di Bukit Bintang, di sini kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kuala Lumpur Wan Mhd Yusof W Taib berkata, operasi itu diadakan bersama Skuad Tindakan Khas (SAS) KPDNKK Malaysia dan dua wakil syarikat yang memiliki hak cap dagangan terhadap jenama seperti Gucci, Chanel, Louis Vuitton, MK, Nike, Adidas, Puma, Converse dan Reebok.

Katanya, dalam operasi itu, lima premis di pusat itu yang menjual barangan tiruan berjenama berkenaan diperiksa membabitkan tiga premis dimiliki rakyat tempatan manakala dua lagi dimiliki warga Bangladesh.

“Menerusi operasi itu, kami menyita barangan tiruan berdasarkan aduan wakil syarikat yang memiliki hak cap dagangan jenama terkenal di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 4:52 AM