KECERIAAN Emma mengadakan aktiviti bersama Emavengers.
KECERIAAN Emma mengadakan aktiviti bersama Emavengers.
KECERIAAN Emma mengadakan aktiviti bersama Emavengers.
KECERIAAN Emma mengadakan aktiviti bersama Emavengers.
KECERIAAN Emma mengadakan aktiviti bersama Emavengers.
KECERIAAN Emma mengadakan aktiviti bersama Emavengers.
Ridzuan Abdul Rahman


Keperibadian dan sikap mesra Emma Maembong berjaya membuka hati beberapa pihak untuk menubuhkan kelab peminat yang bertujuan menyokong kerjayanya.

Tiga bulan mengikuti Emma ke sana sini, Sky, Nurul dan KK mengadakan perbincangan dan akhirnya mereka sepakat menubuhkan kelab peminat dinamakan Emavengers atau EV pada 7 Februari 2013.

EV seterusnya diperkuatkan dengan beberapa ahli jawatankuasa sokongan iaitu Zamil, Ruby, Zira, Emy, Shef dan Fira.

Mereka mengadakan majlis perjumpaan pertama yang dihadiri 25 ahli.

“Ketika itu Emma baru berlakon drama kedua berjudul Cinta Itu Milikku yang disiarkan menerusi TV3.

“Ulang tahun pertama EV dibuat di Burgerbyte Damansara Perdana pada 7 Februari 2014 dan yang kedua pula dibuat di Ruang, Subang pada 22 Mac tahun lalu.

“Terbaru kami meraikan ulang tahun ketiga pula sekali di Ruang, Subang pada 7 Februari lalu dan kehadiran kali ini amat menggalakkan.

“Pelbagai aktiviti menarik diadakan dan Emma sendiri sporting turun padang bermesra dengan semua yang diadakan,” kata Sky.

Menurutnya, apabila didekati, Emma seorang yang mesra dan setiap kali ada kelapangan, pelakon muda ini pasti menghabiskan masanya dengan peminat.

“Kami ibarat satu keluarga besar yang selalu berkongsi masalah masing-masing. Pelbagai aktiviti turut dilakukan bersama-sama antaranya menonton wayang, karaoke, ice skating, lasertag dan macam-macam lagi.

“Biarpun berada di luar Kuala Lumpur, Emma sudi bertemu dengan ahli EV yang berada di sana,” katanya.

Sky berkata, mereka akan terus sepakat menyokong kerjaya seni Emma tanpa berbelah-bagi.

“Banyak yang sudah kami lakukan buat Emma dan diharapkan dia berjaya mencapai tahap terbaik dalam industri seni kita,” katanya.

Emma pula menyifatkan dirinya bertuah dan beruntung kerana menerima sokongan padu daripada Emavengers.

“Saya anggap EV sebahagian tulang belakang kerjaya saya dan sentiasa menyokong kala suka mahu pun sedang berduka.

“Itulah sebabnya saya akan sentiasa meluangkan masa sekiranya ada untuk bersama-sama mereka.

“Mereka yang berada dalam EV juga semakin bijak mengatur pelbagai program untuk keceriaan ahli. Mereka sendiri cari penaja tanpa mengharapkan campur tangan saya.

“Saya masih ingat, ketika baru-baru berlakon, Sky, Nurul dan KK sering ikut saya dalam sesi promosi. Mereka menjeritkan nama saya bagi memberi semangat,” katanya.

Emma mengharapkan hubungan baik mereka berkekalan sampai bila-bila. Dia juga memuji ahli EV yang sangat tenang dan jarang mencampuri hal-hal peribadinya.

“Mereka bukan kaki kecoh ambil tahu gosip yang melanda saya. Ini sudah cukup menampakkan mereka menghormati saya,” katanya.

Selain program hiburan, Emavengers juga tidak lupa menganjurkan program berbentuk amal seperti meraikan anak yatim Darul Taqwa di Batu 9, Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Ramadan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 5:01 AM