SERPIHAN yang ditemui baru-baru ini dikatakan hampir pasti milik pesawat MH370. FOTO Reuters
SERPIHAN yang ditemui baru-baru ini dikatakan hampir pasti milik pesawat MH370. FOTO Reuters
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Hasil pemeriksaan ke atas dua serpihan pesawat yang ditemui Mozambique baru-baru ini memutuskan bahawa komponen berkenaan hampir pasti milik pesawat Penerbangan Malaysia (MAS).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia bagi MH370 berpendapat kedua-dua serpihan itu adalah bahagian sama yang digunakan oleh pesawat MAS termasuk konsisten dengan panel pesawat Boeing 777.

Beliau berkata, pihaknya juga berpandangan, dimensi, bahan dan pembinaan kedua-dua bahagian serpihan itu turut digunakan oleh MAS termasuk cat dan jalur adalah yang sama digunakan syarikat penerbangan itu.

"Pemeriksaan lengkap serpihan dimulakan Isnin lalu sebelum selesai semalam. Ia dilakukan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) dan Boeing selain dibantu oleh pakar-pakar dari Geosains Australia dan Universiti Nasional Australia," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, lokasi penemuan dua serpihan di Mozambique itu adalah konsisten dengan model hanyut (drift) yang dilakukan oleh Pertubuhan Kajian Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO).

Pesawat membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang ketika ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 12:34 PM