GAMBAR hiasan. FOTO Pexels
GAMBAR hiasan. FOTO Pexels
Agensi

Jakarta: Penduduk Kampung Sekli, Halmahera Selatan di Maluku Utara, Indonesia digemparkan dengan kes percubaan perkahwinan sejenis membabitkan dua pemuda.

Portal Kompas melaporkan, Naim Saban, 25, dan Dela La Udin, 26, melangsungkan perkahwinan dan disaksikan pegawai pendaftar nikah setempat pada Rabu.

Sesuatu yang mencurigakan mula disedari jurusolek pengantin selepas mendapati bentuk tubuh mempelai 'perempuan' yang tidak seperti biasa.

Atas sebab itu, bidan setempat melakukan pemeriksaan hingga terbukti 'pengantin perempuan' sebenarnya lelaki.

Pernikahan yang belum berdaftar itu diminta dibatalkan kerana melanggar hukum, agama dan adat istiadat.

Ketua Subseksyen Halmahera Selatan Hamdi Berhet mengesahkan 'pengantin wanita' adalah lelaki bernama Dela La Udin.

Berdasarkan data, Dela menetap di Wairoro, Halmahera Tengah.

"Berdasarkan dokumen data peribadi, pengantin yang kononnya wanita bernama Dela La Udin," kata Hamdu pada Jumaat

Nama asal pengantin berkenaan pula adalah Jurnal Lafini.

"Saya memohon maaf, saya sebenarnya lelaki," ujar Jurnal Lafini dalam video berdurasi 22 saat pada Sabtu

Sementara itu, pengantin lelaki memaklumkan dia tidak tahu pasangan yang dinikahinya adalah lelaki kerana Dela La Udin atau Jurnal Lafini memintanya mematikan lampu ketika mereka bersama.

Susulan kes itu, Hamdi juga menyatakan pihaknya akan mengambil tindakan mengikut undang-undang atas pernikahan sesama jenis itu.

Menurutnya, ada dakwaan berhubung pemalsuan dokumen peribadi yang dilakukan oleh Dela La Udin atau Jurnal Lafini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 3:40 PM