Datuk Seri Liow Tiong Lai  (tengah) ketika sidang media di Kuala Lumpur petang ini megenai serpihan pesawat yang ditemui di pantai Mozambique. - Foto REUTERS
Datuk Seri Liow Tiong Lai (tengah) ketika sidang media di Kuala Lumpur petang ini megenai serpihan pesawat yang ditemui di pantai Mozambique. - Foto REUTERS
BERNAMA

Kuala Lumpur: Proses mengenal pasti serpihan yang ditemui di Mouzambique sama ada mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 akan mengambil masa kerana membabitkan beberapa prosedur.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tempoh diperlukan tidak dapat dipastikan kerana perlu melalui proses sama seperti ‘flaperon' yang ditemui di Pulau Reunion Julai tahun lalu.

“Pasukan siasatan terdiri daripada DCA (Jabatan Penerbangan Awam) dan MAS serta pasukan penyiasat khas MH370 akan dihantar ke Australia untuk proses kenal pasti," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan Malaysia akan bekerjasama dengan Australia yang menghantar pasukan penyiasat mereka ke Mozambique untuk perbincangan membawa serpihan berkenaan ke Australia.

“Kita mahu siasat penemuan ini secepat mungkin dan sedang menunggu proses serpihan itu dibawa ke Australia," katanya.

Liow bagaimanapun berkata, walaupun daripada gambar disiarkan sebuah agensi berita serpihan itu berkemungkinan ada kaitan dengan Boeing 777, namun masih terlalu awal mengaitkannya dengan MH370.

Sementara itu Liow berkata keputusan untuk melancarkan pencarian lebih banyak serpihan di kawasan pantai Mozambique hanya akan dilakukan selepas serpihan berkenaan dipastikan milik MH370.

Semalam, NBC News melaporkan serpihan berwarna putih sepanjang satu meter ditemui di pesisiran pantai antara Mozambique dan Madagascar awal minggu ini, dipercayai penstabil mendatar pesawat Boeing 777 oleh seorang lelaki Amerika yang menyiasat kehilangan pesawat itu.

Tahun lalu, penyiasat menemui serpihan sayap pesawat MH370 di Pulau Reunion di Lautan Hindi. Pesawat itu hilang dua tahun lalu bersama 239 orang dalam penerbangan dari KLIA ke China.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 5:59 PM