ANWAR bersama Raisi. FOTO Facebook Anwar Ibrahim
ANWAR bersama Raisi. FOTO Facebook Anwar Ibrahim
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Malaysia bersolidariti dengan Iran atas tragedi menimpa pemimpin negara itu, Presiden Iran Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian yang terkorban dalam nahas helikopter, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau turut terkesan dan sedih apabila menerima laporan mengenai insiden nahas helikopter di wilayah utara Iran yang dinaiki pemimpin terbabit.

"Operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan semalam dan pasukan penyelamat mengumumkan Presiden Raisi, Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian dan delegasi ditemui maut dalam nahas itu.

"Saya sempat ketemu almarhum Presiden Raisi di New York, Amerika Syarikat tahun lalu dan menekuni pelbagai perkara yang dekat dengan kedua-dua negara.

"Beliau menonjolkan sikap yang terbuka tetapi tegas terutama dalam soal pembangunan rakyatnya serta punyai keupayaan yang tinggi dalam memelihara Iran sebagai negara dan tamadun yang kuat," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Anwar berkata, pemergian Raisi turut menjadi kehilangan besar dalam perjuangan membela Palestin.

"Saya selesa bekerjasama dengan beliau dan tragedi ini tentunya menyedihkan dan meninggalkan bekas yang mendalam terutama dalam perjuangan membela warga Palestin.

"Malaysia lantas berduka atas tragedi ini dan bersedih atas malapetaka yang menimpa negara sahabat Iran.

"Doa dan solidariti buat rakyat Republik Islam Iran dan semoga Allah SWT mengampuni dosa mereka dan memberi tempat yang istimewa di sisi-Nya," katanya.

Terdahulu media melaporkan, helikopter dinaiki Raisi terhempas di kawasan Varzaqan, semalam.

Beliau dilaporkan dalam penerbangan pulang bersama Amirabdollahian dan beberapa individu lain dari majlis perasmian sebuah empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan.

Tiada mangsa terselamat dalam nahas helikopter Raisi

Presiden Iran, menteri luar maut helikopter terhempas

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 3:34 PM