BERNAMA

Kuala Lumpur: Satu lagi serpihan pesawat dipercayai milik pesawat Malaysia Airlines MH370 dijumpai di Mozambique semalam, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, serpihan itu sedang diteliti sama ada mempunyai kaitan dengan bahagian pesawat jenis Boeing 777 sebelum tindakan selanjutnya.

"Satu lagi serpihan telah dijumpai, kami perlu terlebih dahulu tentukan sama ada ia daripada pesawat Boeing 777.

"Jika ia daripada Boeing 777 kami perlu pertimbangkan untuk bawa ke Australia bagi pengesahan lebih lanjut," katanya selepas melancarkan Karnival Teguh Bersama MCA di Wisma MCA di sini, hari ini.

Beliau berkata dua serpihan yang dihantar sebelum ini ke Australia sudah dikenal pasti berkemungkinan besar daripada pesawat malang itu.

“Satu lagi serpihan akan dihantar ke Australia dalam minggu ini," katanya.

Sehingga kini, beberapa serpihan pesawat dipercayai mempunyai kaitan dengan MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 239 penumpang dan anak kapal ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 9:14 PM