GAMBAR yang diedarkan Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel semalam menunjukkan flaperon tulen Boeing 777 yang diubah suai diapungkan di perairan Hobart, Tasmania untuk menentukan lokasi sebenar pesawat MH370 tersadai.
GAMBAR yang diedarkan Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel semalam menunjukkan flaperon tulen Boeing 777 yang diubah suai diapungkan di perairan Hobart, Tasmania untuk menentukan lokasi sebenar pesawat MH370 tersadai.

Sydney: Pesawat Malaysia Airlines MH370 yang masih gagal ditemui sejak 2014 kemungkinan besar berada lebih jauh di utara zon pencarian Lautan Hindi yang dilakukan sebelum ini.

Memetik laporan AFP, teori baru yang dikeluarkan pihak berkuasa Australia semalam itu dianggap sebagai harapan bahawa pesawat itu kemungkinan ditemui satu hari nanti.

Misi pencarian pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal di dasar laut Pantai Barat Australia dihentikan Januari lalu selepas tiada petunjuk baru ditemui.

Operasi pencarian dasar laut yang diketuai Australia itu dilaporkan sebagai paling mahal pernah dikendalikan selepas pesawat MH370 itu dikatakan terhempas di Selatan Lautan Hindi berdasarkan data satelit.

Bagaimanapun, ahli keluarga penumpang merayu supaya operasi pencarian itu diteruskan selepas laporan analisis oleh pakar antarabangsa dan Australia yang dikeluarkan pada Disember lalu menyimpulkan pesawat berkenaan bukan berada di zon pencarian tetapi sebaliknya lebih jauh di kawasan utara.

Tiga serpihan dari pesawat berkenaan juga ditemui di luar zon rasmi pencarian di bahagian pantai barat Lautan Hindi termasuk sayap flaperon sepanjang dua meter yang ditemui di Pulau La Reunion.

Laporan baru oleh Badan Sains Australia (CSIRO) juga menyokong teori lokasi utara itu menggunakan data dan analisis daripada ujian lautan daripada flaperon sebenar Boeing 777.

Sebagai sebahagian daripada ujian, bahagian sayap pesawat dipadankan dengan gambar flaperon MH370 sebelum diletakkan di perairan berhampiran Hobart, ibu negara Tasmania.

“Penemuan flaperon MH370 itu di Pulau La Reunion pada Julai 2015 kini dapat diterima akal,” kata saintis CSIRO, David Griffin yang menjelaskan bagaimana flaperon berkenaan bertindak balas dengan angin, ombak dan arus lautan.

Menurutnya, mereka menambah faktor angin dan ombak pada model untuk menstimulasikan pergerakan hanyut di lautan sebelum membandingkan keputusan itu dengan pemerhatian serpihan ditemui untuk menyimpulkan lokasi pesawat.

“Kita tidak boleh benar-benar yakin tetapi keputusan itu adalah bukti yang ada di mata kita. Tetapi keputusan ini menambahkan lagi keyakinan kami dalam misi pencarian ini.

Laporan itu turut disokong Menteri Pengangkutan Australia Darren Chester yang menyatakan sudah memberikan perkembangan itu kepada Malaysia.

“Laporan CSIRO sudah diberikan kepada Malaysia untuk dipertimbangkan dalam penyiasatan yang sedang berjalan berhubung kehilangan MH370.

“Malaysia mengetuai siasatan ini dan sebarang permintaan berhubung pencarian MH370 akan dipertimbangkan oleh Australia,” katanya, semalam.

Bagaimanapun katanya, apa yang penting untuk diambil perhatian adalah keputusan ini bukan bukti baru yang membawa kepada lokasi MH370.

Pada Januari lalu, Australia menegaskan sebaik pencarian penuh selesai dilakukan, pencarian baru hanya akan dimulakan sekiranya terdapat bukti baru yang boleh dipercayai.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang mengetuai misi pencarian asal menegaskan, laporan itu mengesahkan lagi lokasi baru pesawat MH370 di kawasan carian baru.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 7:56 AM