Serpihan yang ditemui di pantai Mozambique tiba di Malaysia sebelum dibawa ke Australia. - Foto Fail
Serpihan yang ditemui di pantai Mozambique tiba di Malaysia sebelum dibawa ke Australia. - Foto Fail
BERNAMA

Bentong: Serpihan pesawat yang ditemui di tebing pasir Mozambique awal bulan ini, dipercayai milik pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, selamat sampai ke Malaysia hari ini untuk dianalisa sebelum dihantar ke Australia bagi pengesahan lanjut.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata serpihan berkenaan tiba pagi tadi bersama pasukan penyiasat terdiri daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan MAS serta pasukan penyiasat khas MH370.

"Serpihan yang dijumpai di Mozambique itu tiba pagi tadi dan pasukan penyiasat kita akan menjalankan ujian serta analisa sebelum ia dihantar ke Australia untuk mengesahkan sama ada milik MH370 atau tidak.

"Bila keputusannya akan diperoleh, itu saya tidak boleh pastikan dan kita serahkan kepada pakar. Kita berharap (dapat keputusan) secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia di sini, hari ini.

Satu serpihan berwarna putih sepanjang satu meter, dipercayai penstabil mendatar pesawat Boeing 777 ditemui di pesisiran pantai Mozambique dan Madagascar awal bulan ini oleh seorang lelaki Amerika.

Beberapa hari selepas itu, satu lagi objek berukuran 40x20 sentimeter dan mempunyai tanda berwarna biru pada permukaannya ditemui di Pulau Reunion, dekat Lautan Hindi oleh seorang pembersih pantai, orang sama yang menemui ‘flaperon' yang disahkan milik MH370 pada 29 Julai tahun lalu, di pulau yang sama.

Mengulas penemuan serpihan terbaru itu, Liow berkata masih terlalu awal untuk mengandaikan ia milik pesawat malang itu.

"Kita hantar sekumpulan pakar dari Malaysia ke pulau berkenaan untuk meneliti sama ada ia milik pesawat MH370 atau kapal lain. Kalau ia serpihan kapal, tiada asas untuk kita membawanya balik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 7:07 PM