KETUA aktivis prodemokrasi, Joshua Wong bercakap kepada pemberita di luar mahkamah selepas dibebaskan dengan jaminan, semalam.
KETUA aktivis prodemokrasi, Joshua Wong bercakap kepada pemberita di luar mahkamah selepas dibebaskan dengan jaminan, semalam.
Agensi

Hong Kong: Tujuh anggota polis Hong Kong ditahan kerana menyerang penunjuk perasaan prodemokrasi bulan lalu selepas rakaman video mengenai insiden itu tersebar dan mengejutkan orang ramai.

Rakaman diambil kru televisyen di lokasi protes utama di Admiralty pada 15 Oktober lalu dikecam hebat orang ramai, ahli politik dan kumpulan hak asasi manusia.

Ia menunjukkan anggota polis membawa seorang lelaki ke tempat gelap sebelum dia dipaksa berbaring untuk dibelasah.

Mangsa dikenali sebagai Ken Tsang, anggota kumpulan politik Parti Sivik yang juga pekerja sosial.

Tsang juga disahkan seorang daripada 1,200 anggota jawatankuasa pilihan raya yang memilih pemimpin Hong Kong.

Gambar kemudian diedarkan Parti Sivik menunjukkan bengkak serta lebam pada muka dan belakang Tsang.

Dalam satu kenyataan mengenai tangkapan itu, polis berkata, mereka bukan sengaja melewat-lewatkan tindakan.

“Sebaliknya, ia disebabkan Tsang gagal hadir untuk sesi kawad cam kelmarin,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika polis dan aktivis prodemokrasi sekali lagi bertembung sehingga mencetuskan keganasan petang kelmarin.

Ia berlaku beberapa jam selepas pihak berkuasa menurunkan khemah dan sekatan di sebuah kem demonstrasi selain menahan pemimpin tunjuk perasaan berkenaan.

Polis membersihkan kawasan demonstrasi itu bagi melaksanakan injunksi mahkamah yang mendapati protes berkenaan mengganggu perniagaan di bandar itu.

Polis dan bailif mahkamah berusaha membuka semula sebuah jalan utama yang dikawal oleh penunjuk perasaan sejak lebih dua bulan lalu.

Namun, menjelang malam - selepas penduduk Hong Kong selesai bekerja seharian - lokasi berkenaan dipenuhi semula dengan ribuan orang, bukan saja penunjuk perasaan tetapi juga orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 5:05 AM