POLIS memberi rawatan kepada seorang penunjuk perasaan yang ditahan dalam perhimpunan berkenaan.
POLIS memberi rawatan kepada seorang penunjuk perasaan yang ditahan dalam perhimpunan berkenaan.

Hong Kong: Polis antirusuhan semalam bertempur dengan penunjuk perasaan prodemokrasi yang cuba menawan semula kem yang dikosongkan polis sehari sebelumnya.

Polis menggunakan cota dan penyembur lada terhadap peserta demonstrasi yang berlindung di sebalik payung di Mongkok, namun mengundur selepas matahari naik menyebabkan orang ramai bersorak.

Aktivis kemudian bergegas membina semula penghadang di kawasan yang dibuka semula kepada lalu lintas 24 jam sebelumnya, manakala ribuan lain membuat mogok duduk.

Sementara itu, polis Hong Kong berkata dalam satu kenyataan, 26 ditahan dan 15 anggotanya cedera ringan.

Seramai 9,000 dianggarkan terbabit dalam demonstrasi itu yang kini masuk minggu ketiga. Kejadian semalam kali ketiga berturut-turut pertempuran dan dilihat mampu menggugat usaha mengadakan perbincangan antara pemimpin Hong Kong dengan ketua pelajar.

Sementara itu, Ketua Polis Hong Kong Komisioner Andy Tsang berkata, pihaknya banyak bersabar selama ini.

“Kami selama ini berharap keadaan akan reda dengan sendirinya, namun malangnya penunjuk perasaan ini masih memilih melanggar undang-undang malah semakin radikal dan ganas,” katanya.

Sementara itu, seorang jurugambar Amerika Syarikat (AS) yang ditahan kerana berdiri atas kereta ketika membuat liputan pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis dibebaskan dengan ikat jamin semalam.

Paula Bronstein berkata, disebabkan pertempuran itu, dia terpaksa memanjat kereta untuk menyelamatkan diri selepas ditolak orang ramai.-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:04 AM