Penyokong pro-China memegang payung yang koyak menyindir pergerakan prodemokrasi di Hong Kong.
Penyokong pro-China memegang payung yang koyak menyindir pergerakan prodemokrasi di Hong Kong.

Hong Kong: Ribuan orang yang kebanyakannya membawa payung kuning serentak berarak di jalan raya Hong Kong semalam untuk mendesak ahli parlimen menolak pembaharuan proses pilihan raya mahu diperkenalkan Beijing yang tahun lalu mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran.

Jumlah penunjuk perasaan tahun ini bagaimanapun kurang daripada diharapkan penganjur demonstrasi itu yang berarak ke ibu pejabat kerajaan tempatan untuk mendapatkan sokongan memveto pakej pembaharuan terbabit.

Antara isu yang timbul daripada pembaharuan itu termasuk bagaimana penduduk Hong Kong akan memilih pemimpin mereka yang buat masa ini dipilih oleh panel pro-Beijing. Pembaharuan yang bakal diundi ahli parlimen Rabu ini akan membolehkan pilihan raya secara langsung bagi kali pertama, namun calonnya perlu disaring panel sama terlebih dulu.

Aktivis prodemokrasi - yang tahun lalu mendapat perhatian dunia selepas ‘menawan’ beberapa bahagian bandar berkenaan selama 11 minggu untuk mendesak kebebasan pilihan raya menggunakan payung dan warna kuning sebagai simbol pergerakan mereka - menyelar cadangan terbabit sebagai ‘demokrasi olok-olok’ dan mendesak diberi hak mengundi sebenar.

Penganjur protes, termasuk Barisan Hak Asasi Manusia, kumpulan pelajar dan parti politik prodemokrasi menganggarkan hanya 3,500 menghadiri tunjuk perasaan itu berbanding 50,000 yang diharapkan. Polis berkata, demonstrasi disertai 3,140 orang. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 11:38 AM