BERGOTONG-royong membersihkan Taman Tasik Taiping.
BERGOTONG-royong membersihkan Taman Tasik Taiping.
Teks dan gambar Mohd Aswadi Muhamad


Seramai 65 Ahli Kelab Kembara Politeknik Sultanah Bahiyah (PTSB) Kulim dan Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh, bergabung tenaga menyertai Program Eksplorasi Bandar Warisan di kawasan peranginan sekitar Taiping dari 18 hingga 21 Februari lalu.

Program bertemakan Cintai & Sayangi Khazanah Warisan itu turut disertai ahli Persatuan Mata Hati Malaysia (MHM) dengan kerjasama SWCorp Malaysia Perak, Majlis Perbandaran Taiping dan Enviroment Idaman Sdn Bhd.

Aktiviti utama program berkenaan ialah gotong-royong membersihkan kawasan peranginan dan tumpuan ramai serta pusat tahfiz di sekitar bandar Taiping.

Ini termasuk Taman Tasik Taiping, Kolam Burma (Burmease Pool), Zoo Taiping dan Night Safari, Taman Peranginan Bukit Larut dan Pertubuhan Rumah Anak-Anak Lelaki Maahad Tahfiz Al-Taufiqiah.

Program dirasmikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abd Rahim Md Ariff yang diwakili Pengarah Perkhidmatan Bandar dan Kesihatannya, Khairul Anwar Hashim.

Turut serta pensyarah kedua-dua politeknik berkenaan.

Abd Rahim dalam ucapannya mengucapkan syabas kepada dua politeknik terbabit yang berjaya melatih pelajar berketrampilan, berdisiplin dan bernilai murni ke arah pembentukan sumber tenaga manusia yang holistik.

Katanya, sikap kurang prihatin orang ramai menyebabkan jalan raya dan tempat awam dicemari sampah dan memerlukan pembersihan dilakukan setiap hari.

“Ia membazirkan wang kerajaan kerana terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk membersihkan kawasan berkenaan selain merugikan masyarakat sendiri jika tidak dapat meningkatkan sikap dan perasaan lebih bertanggungjawab ke atas alam sekitar dan kesihatan awam,” katanya.

Sementara itu, Presiden MHM Datuk Ab Rahim Md Noor mengajak masyarakat melihat isu alam sekitar dan kebersihan melalui mata hati agar dapat menghargai kepentingannya bagi menjamin kesejahteraan dan kelangsungan kehidupan manusia sejagat.

“Malaysia menuju ke arah negara maju. Oleh itu masyarakat perlu mempunyai mentaliti sama dengan mempupuk kesedaran sivik dan nilai murni dengan menjadikan kebersihan sebagai tanggungjawab bersama.

“Ini akan terlaksana selepas masyarakat mengubah minda dan melihat sesuatu perkara melalui pandangan mata hati,” katanya.

Seorang peserta, Muhammad Akif Basarali, 22, pelajar tahun dua Dip­loma Kejuruteraan Elektrik, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah berkata, program ini bertujuan menanam rasa tanggung­jawab dalam kalangan masyarakat dan pelajar untuk menjaga alam sekitar.

“Persekitaran yang bersih dapat memberi impak positif kepada kita. Kami harap program ini dapat memupuk kesedaran menjaga kebersihan persekitaran bagi mengelak dicemari sampah dan udara tidak bersih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 10:45 AM