PROGRAM membabitkan kebersihan alam sekitar turut menjadi keutamaan MHM
PROGRAM membabitkan kebersihan alam sekitar turut menjadi keutamaan MHM
Zaitie Satibi

Kemajuan dan pembangunan sesebuah negara bermula daripada penyatuan hati serta minda yang hebat. Penyatuan ini membentuk integrasi pemikiran, pengetahuan dan tindakan yang mendorong ke arah terhasilnya kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

Dalam konteks Malaysia, hasrat mencapai status sebagai negara maju yang disegani menjelang 2020 semakin tercapai berdasarkan indikator kuantitatif seperti petunjuk ekonomi, pendapatan dan kebahagiaan serta kesejahteraan rakyat.

Sungguhpun begitu, negara masih dihambat dengan pelbagai cabaran bagi memastikan kelestarian negara ini terus terjamin melangkaui 2020 khususnya dari aspek ekonomi, pendidikan, keselamatan, tadbir urus, kualiti diri dan masyarakat.

Pastinya kunci untuk mencapai aspirasi berkenaan terletak kepada keupayaan negara untuk melaksanakan perubahan minda masyarakat bagi membentuk kebijaksanaan dalam melihat, menganalisis, menilai dan bertindak ke atas sesuatu perkara dengan pendekatan mata hati.

Berlandaskan kesedaran itu Persatuan Mata Hati Malaysia (MHM) ditubuhkan kira-kira enam tahun lalu dengan hasrat membantu mengubah minda masyarakat ke arah kelestarian dan kesejahteraan.

Presidennya, Datuk Ab Rahim Md Noor berkata, dengan terbentuknya kebijaksanaan kolektif ini pastinya generasi Malaysia akan terbina daripada individu yang menghargai ciptaan Tuhan, mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan serta bertanggungjawab dalam menangani isu sejagat.

MENYANTUNI penduduk di perkampungan Orang Asli di kawasan pedalaman
MENYANTUNI penduduk di perkampungan Orang Asli di kawasan pedalaman

“Mata hati digunakan sebagai istilah kepada perasaan yang timbul dalam hati apabila seseorang melihat sesuatu yang akhirnya memberikan kesan terhadap hati dan dirinya. Pendekatan mata hati ini dilihat secara sejagat meliputi pelbagai perkara yang berkait rapat dengan kehidupan seseorang.

“Oleh itu, aspirasi kami ingin mengajak masyarakat melihat dengan mata hati semua isu dalam kehidupan dan mengubah minda mereka bagi melahirkan insan yang bertanggungjawab, memiliki nilai etika, pemikiran yang progresif dan kesedaran budaya yang tinggi dalam pelbagai aspek bagi menjamin kesejahteraan hidup,” katanya.

Pernah menerajui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ab Rahim turut meletakkan matlamat MHM untuk menjadi pencetus kepada masyarakat yang menghargai dan mengutamakan kebersihan, sekali gus menjadi prihatin terhadap pemeliharaan alam sekitar.

“Kami juga berusaha mewujudkan masyarakat yang bertanggungjawab dan mempunyai etika menjaga kebersihan yang tinggi setanding negara maju.

“Bagi menjaga kebersihan, kami mahu masyarakat menghargai sisa dengan melihatnya bukan sekadar sampah sebaliknya sebagai sumber ekonomi, tenaga dan nilai artistik,” katanya.

Program yang pernah dilaksanakan MHM seperti Eksplorasi Bandar Warisan di Taiping, Perak, Kempen Kesedaran Bahaya Kebakaran dan Pembersihan Sistem Perpaipan di Madrasah Tahfiz Khairul Kalam, Shah Alam, Selangor dan program kebajikan serta motivasi di Sekolah Tahfiz dan Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.

ANGGOTA persatuan pelbagai latar belakang dari profesional ke pelajar
ANGGOTA persatuan pelbagai latar belakang dari profesional ke pelajar

“Di peringkat antarabangsa, MHM pernah terpilih bagi membentangkan pendekatan mata hati dalam seminar kesukarelawanan perubahan sosial Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva. Pencapaian ini adalah satu penghormatan yang besar kepada MHM khususnya dan negara amnya.

“Bersandarkan kejayaan itu, usaha digandakan bagi memastikan tahun ini mencatatkan lebih banyak kejayaan kepada MHM melalui pelaksanaan program khidmat masyarakat di Acheh, Indonesia dan perkampungan Orang Asli, program kesedaran keselamatan jalan raya, kesedaran penjimatan utiliti serta kesedaran penjagaan sungai bagi memastikan kelestarian sumber air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 11:15 AM