PELAJAR kusyuk mendengar ceramah yang disampaikan. FOTO NSTP
PELAJAR kusyuk mendengar ceramah yang disampaikan. FOTO NSTP
Fazurawati Che Lah

Pemahaman masyarakat terhadap Gelombang Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) yang melewati dunia global kini masih pada tahap sederhana khususnya golongan pelajar.

Oleh itu, institusi pengajian tinggi dan industri perlu memainkan peranan dalam usaha mendidik masyarakat untuk membudayakan pemahaman IR 4.0 itu bagi memastikan mereka cukup bersedia menghadapi dunia yang semakin mencabar.

Bagi menjelaskan berkenaan perkara itu, bengkel Perkongsian Ilmu Bersama Panel Industri di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Kulim, Kedah diadakan khusus kepada 219 pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.

Menurut Pengarah Program, Wan Nor Shela Ezwane Wan Jusoh, be­ngkel itu bertujuan membimbing dan memberi panduan kepada penuntut dalam penghasilan data analisis seiring dengan kehendak IR 4.0.

Katanya, penghasilan produk yang baik dan bermutu untuk dipasarkan akan memberi impak besar kepada negara dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) terutama politeknik.

“Pengisian sepanjang bengkel ini turut menyentuh berkenaan kepentingan IR 4.0 dalam mencorakkan agenda pendidikan negara.

“Bengkel ini membantu pelajar melahirkan idea positif kepada revolusi industri dari aspek pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, teknologi serta komunikasi,” katanya.

Program itu juga memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan kesan revolusi industri terhadap penggunaan sumber tenaga kerja manusia di samping memperkenalkan inisiatif dan idea revolusi industri yang berupaya memanfaatkan institusi pengajian tinggi.

Perkongsian ilmu di bengkel itu disampaikan Jurutera Rekabentuk dari Kulim Advanced Technologies Sdn Bhd.

Penuntut Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Muhammad Fahmi Abdul Ghani berkata, pelbagai manfaat diperoleh melalui bengkel berkenaan terutama dalam mencari idea, memilih bahan dan menganggarkan kos.

“Diharap projek yang akan dihasilkan nanti memberi manfaat kepada industri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 11:53 AM