Francissca Peter
Francissca Peter
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Penyanyi popular era 1980-an, Datuk Francissca Peter, 62, mendedahkan beliau juga tidak terlepas menjadi mangsa 'body shaming' daripada segelintir golongan muda yang dianggap cukup berani.

Francissca berkata, beliau berhadapan pertanyaan membabitkan bentuk badannya, namun gembira mampu menepis dengan jawapan terbaik yang membuatkan mereka terus terdiam.

"Kenapa awak gemuk ya?," kata mereka umpama mengejek saya. Tapi, ketika itu saya tak rasa sedih pun sebab saya jawab, dalam hati saya penuh dengan rasa cinta, tak tahu kenapa?

"Lagi pun, bila saya tengok awak gembira dan saya pun gembira juga. Secara tak langsung, jawapan saya itu memberi pesan kepada mereka agar hidup bergembira dan menjadi lebih baik," katanya.

Menurut Francissca, situasi kurangnya sifat hormat-menghormati pada kalangan generasi muda sekarang berlaku kerana kebanyakan mereka berjiwa sensitif.

"Apa yang mereka rasai terhadap sesuatu perkara itu diluahkan mengikut kata hati. Jadi, kita kena tahu pertahankan diri sebaiknya di hadapan mereka dengan membalas secara bijak.

"Dalam soal ini, kita yang berhadapan situasi sebegitu (body shaming) kena tahu menanganinya secara berhemah, matang dan tenang," katanya mengakui faham dengan keadaan yang dialami penyanyi Liza Hanim.

Penyanyi lagu Sekadar Di Pinggiran itu ditemui media ketika menerima boneka istimewa 'Borneo Doll' dirinya hasil sentuhan tangan peminat setia WesleyAnak Juntan, 36, di sebuah restoran di ibu kota, baru-baru ini.

Francissca juga berkata, tindakan dilakukan Liza Hanim dengan memuat naik semula hantaran yang dibuat netizen itu di media sosialnya adalah langkah terbaik dan tepat.

"Apa yang dilakukan Liza adalah perkara yang betul. Ia tindakan sepatutnya untuk dia menjawab bagi mempertahankan diri kerana 'body shaming' itu. Tidak bagus sebenarnya apa yang dilakukan oleh netizen," katanya.

Terdahulu, menerusi Instagram miliknya Liza memuat naik semula hantaran 'body shaming' mengaitkannya dan membalas komen pengguna akaun Instagram, @jab_netizen yang menulis komen berbaur hinaan terhadap bentuk fizikal dan wajahnya apabila membandingkan dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Tidak hanya Liza, namun Siti juga tampil bersuara mempertahankan rakan selebriti yang pernah bernaung satu syarikat rakaman dengannya sekali gus 'menyekolahkan' pihak netizen itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 5:15 PM