Noki & MK  menyampaikan lagu Payung Pelangi pada separuh akhir Muzik Muzik 37 di Sri Pentas 2 Alam Sentra. FOTO OWEE AH CHUN
Noki & MK menyampaikan lagu Payung Pelangi pada separuh akhir Muzik Muzik 37 di Sri Pentas 2 Alam Sentra. FOTO OWEE AH CHUN
Najiy Jefri


Shah Alam : Pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) yang akan berlangsung pada 12 Februari tahun depan di Axiata Arena, Bukit Jalil bakal menyaksikan pertembungan komposer muda mendominasi karya 12 lagu yang diumumkan, hari ini.

Sebanyak 12 lagu itu diumumkan selepas saingan Separuh Akhir Muzik Muzik ke-37 (SFMM37) yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, hari ini dan semalam.

Antaranya ialah penyanyi dan komposer, Aina Abdul yang menempa tiket menerusi lagu Terus Hidup hasil ciptaannya dan Ernie Zakri yang menepati ramalan apabila lagu Korban ciptaannya turut layak.

Ini diikuti lagu Bahagiakan Dia ciptaan penyanyi muda, Alif Iskandar dengan lirik oleh Alif dan Que Afiq. Ia dinyanyikan secara duet oleh Shila Amzah dan Liza Hanim.

Sembilan lagi lagu yang layak ke AJL37 ialah Suatu Malam Di Temasek (SonaOne, Joe Flizzow. Ciptaan SonaOne, lirik oleh SonaOne dan Joe Flizzow); Anugerah Terindah (Alif Satar & The Locos. Ciptaan Alif Satar, Romeo, Tam Cobain, Arwis, lirik oleh Alif, Shah Shamshiri dan Romeo); Debu (Dayang Nurfaizah, Amir Masdi. Ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam, Acap Salim); Kembali Terang (Marsha Milan. Ciptaan Senna dan Ajin, lirik oleh Senna); dan Nang (Iman Troye. Ciptaan Ezra Kong dan A Ramle).

Empat lagi lagu yang layak ialah Payung Pelangi (Noki, MK. Ciptaan dan lirik oleh Noki dan MK); Sengsara (Khai Bahar. Ciptaan Johm Reeves, Firdaus Rahmat dan Omar K); Irama (Shiha Zikir. Ciptaan Qie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves); dan Mainan (Naim Daniel. Ciptaan Firdaus Rahmat, Omar K dan Mas Dewangga. Lirik oleh Arizs Ab Rahman.

Semua lagu dinilai oleh barisan juri profesional diketuai Datuk Mokhzani Ismail bersama Damien, LY, Azlan Abdul Hassan, Jenny Chin dan Cikgu Shafi.

Dihoskan Muaz Mohamed dan Izzue Islam, SFMM37 menyaksikan 30 lagu bertanding menerusi dua episod yang berlangsung semalam dan hari ini.

SFMM37 hari ini turut diserikan dengan persembahan istimewa Ramlah Ram dan Syura menerusi lagu Hati Kama, Farahdhiya (Bertakhta Di Hati) dan Elyana (Tak Tercapai Akalmu).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 7:48 PM