CHONG Wei terlepas gelaran Terbuka Malaysia selepas tewas kepada Lin Dan pada aksi final.
CHONG Wei terlepas gelaran Terbuka Malaysia selepas tewas kepada Lin Dan pada aksi final.
Ferzalfie Fauzi

Kuching: Jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan terpaksa mencari formula khas buat Datuk Lee Chong Wei dalam usaha mempelbagaikan corak permainan anak buahnya itu.

Menurutnya, langkah itu akan dibuat supaya permainan Chong Wei tidak mudah dihidu lawan dalam persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland Ogos ini.

“Perubahan pasti akan ada bagi membantu Chong Wei berada pada tahap prestasi terbaik apabila beraksi di Glasgow nanti,” katanya.

“Sudah pasti akan ada sesuatu yang baru dalam corak permainan Chong Wei. Saya akan cari idea baru bagi mempelbagaikan corak permainannya.

“Namun, anda perlu ingat Chong Wei sudah ada standard tersendiri dan tidak semua perubahan yang cuba dilakukan sesuai dengan dirinya, jadi kami akan bincang lagi. Saya akan cuba bantu dia untuk buat persiapan terbaik menjelang Kejohanan Dunia,” ujar Hendrawan.

Kelmarin, pemain nombor satu dunia itu gagal dalam misinya merekod gelaran ke-12 Terbuka Malaysia selepas tewas kepada Lin Dan 19-21, 14-21 dalam aksi final di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.

Hendrawan berkata, kekalahan di tangan Lin Dan menampakkan kelemahan dari aspek pemain itu menghadapi situasi getir dalam perlawanan.

“Ketika berdepan situasi mata penting, Lin Dan lebih berani berbanding Chong Wei. Dia pasti akan memaksa Chong Wei bermain di bahagian depan dan situasi ini bukan saja berlaku apabila bertemu Lin Dan, tapi juga dengan Chen Long.

“Kekalahan ini memberi satu pengajaran dan kita perlu terima hakikat itu. Kami akan cuba mencari jalan mengatasi kelemahan ini,” kata Hendrawan yang turut memaklumkan kejohanan seterusnya buat Chong Wei adalah Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, China dari 25 hingga 30 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 10:28 AM