Manchester: Pengurus Manchester United, Louis van Gaal percaya pemainnya sudah mula memahami apa yang dimahukannya sepanjang tempoh tiga bulan dia berada di kelab itu.

Begitupun pengurus dari Belanda itu berkata masih banyak ruang untuk diperbaiki selain keseimbangan jentera serangan dan pertahanan untuk pulih dari permulaan musim ini yang hambar.

Van Gaal mengakui ideanya akan mengambil masa untuk diterapkan sejak ketibaannya ke kancah bola sepak Inggeris memandangkan pasukan itu sedang dirombak selepas sekadar menduduki tangga ketujuh pada akhir musim lalu.

Bagaimanapun tiga kemenangan dari empat perlawanan terakhir mereka dan kini berada di tangga keempat Liga Perdana Inggeris menjelang perlawanan berikutnya membayangkan United kini semakin meningkat biarpun Van Gaal masih belum berpuas hati.

“Saya rasa mereka memahami falsafah itu tetapi perlu menterjemahkannya,” kata Van Gaal yang tiba di Old Trafford pada pra-musim selepas membantu Belanda meraih tempat ketiga di Piala Dunia Brazil.

“Kita perlu pastikan sama ada ia mampu pergi ke tahap berikutnya. Kami perlukan lebih keseimbangan dalam pasukan. Itu yang saya katakan selepas perlawanan menentang Everton.

“Saya mencari keseimbangan dalam pasukan, bukan sekadar menampilkan gaya serangan menakjubkan. Bila anda kehilangan bola, anda perlukan pasukan yang mantap jadi anda boleh bertahan dan melakukan penyudah lebih pantas.”

Apabila ditanya bagaimana beliau menilai tugas di United, Van Gaal berseloroh apabila memberitahu melakukannya dengan baik, seperti selalunya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kebangkitan United yang dirancang adalah hasil kerja berpasukan, ketika pasukannya bakal berkunjung ke West Bromwich Albion, awal pagi esok.

“Saya yakin kepada diri dan pasukan tetapi lebih penting, pemain yakin dengan pengurus. Ia sesuatu yang sukar. Saya tidak melakukannya bersendirian, saya melakukannya bersama kakitangan dan pemain.” -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:04 AM