JARINGAN Ronney (kanan) benam Reds.
JARINGAN Ronney (kanan) benam Reds.
AFP

Liverpool, England: Kemenangan 1-0 Manchester United di Liverpool menjadi bukti kukuh mereka masih mampu menamatkan saingan musim ini sebagai juara Liga Perdana Inggeris, ujar pengurus Louis van Gaal.

Jaringan pada minit ke-78 oleh Wayne Rooney di Anfield kelmarin membolehkan United menang ke atas musuh tradisi itu sekali gus menyaksikan mereka kini menduduki tangga kelima, ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Arsenal.

United tidak begitu menyerlah musim ini dan empat kekalahan berturut-turut sebelum Krismas menyaksikan kedudukan Van Gaal mula dipersoalkan. Selepas catatan tanpa kalah dalam lima perlawanan ketika ini, pengurus itu mula percaya peluang mereka untuk bergelar juara tetap ada.

“Saya rasa, memang penting untuk mengalahkan Liverpool dan ia menjadi lebih penting lagi kerana pesaing kami turut tercicir mata,” katanya.

“Apabila jarak antara kami hanya tujuh mata, anda pasti boleh mengatasinya. Itulah yang saya fikirkan ketika ini.

“Banyak lagi perlawanan yang akan ditempuhi. Kami memulakan 2016 dengan baik termasuk menang, seri dan kami tidak tewas.

“Saya rasa perlawanan ini akan melonjakkan semangat pemain, penyokong dan sesiapa saja yang terbabit dengan Manchester United.

“Kami perlu berjuang. Ia bukan mudah. Anda sudah lihatnya hari ini dan kami mampu melakukannya. Setiap minggu kami membuktikan kami boleh.”

Dikritik hebat sepanjang babak pertama musim ini, Rooney kini menjadi watak utama kebangkitan United apabila meledak lima gol sepanjang empat penampilan terakhirnya.

Dia tidak begitu diperhatikan ketika menentang Liverpool hinggalah tandukan Marouane Fellaini singgah di palang hasil hantaran lintang Juan Mata dan ketika bola jatuh dalam kotak penalti tuan rumah, pemain United yang menyarung jersi nombor 10 itu pantas merembat kencang gol kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 7:07 AM