JAMAL (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoA antara Amir Hamzah (kanan) dengan Wan Subki.
JAMAL (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoA antara Amir Hamzah (kanan) dengan Wan Subki.
Mohd Amin Jalil


Kolej Uniti Port Dickson menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama Kolej Jamiah Islamiah Putra (Jaiputra) Kota Bharu bagi menyediakan pilihan pendidikan berkualiti, baru-baru ini.

Kolej Uniti Port Dickson diwakili Ketua Eksekutifnya Amir Hamzah Md Isa manakala Kolej Jaiputra diwakili Ketua Eksekutifnya Wan Subki Wan Salleh dan disaksikan Presiden Kolej Uniti Datuk Jamal Mohd Amin.

Jamal berkata, MoA itu satu sinergi strategik kepada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) Bumiputera khususnya dalam menghadapi cabaran masa depan.

Katanya, pihaknya yakin MoA itu akan dapat menggabungkan kekuatan kedua-dua institusi dalam usaha melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran tinggi.

“Saya percaya Kolej Jaiputra ada kekuatan sendiri khususnya dalam pasaran di kawasan pantai timur dan Kolej Uniti juga mempunyai keistimewaan sendiri.

“Matlamat kita memberikan pendidikan berkualiti dengan memperkukuhkan kedua-dua kolej sebagai IPTS yang berdaya saing dan maju, sekali gus mendokong agenda menjadikan Malaysia hab kecemerlangan pendidikan,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani MoA itu di Dewan Utama Kolej Jaiputra, Kota Bharu.

Menurut Jamal, melalui penggabungan itu, pihaknya akan menggunakan satu jenama iaitu Kumpulan Pendidikan Uniti.

“Kita sudah memohon kepada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk pertukaran nama Kolej Jaiputra selepas ini akan menjadi Kolej Uniti Kota Bharu,” katanya.

Beliau juga berkata, Kolej Uniti berhasrat membuka ruang kepada kemasukan penuntut luar negara terutama dari negara ASEAN bagi melanjutkan pelajaran sama ada di Kolej Unit Port Dickson atau Kolej Uniti Kota Bharu.

Menurutnya, fokus utama pengajian ialah Diploma Pengurusan Industri Halal (DPIH) kerana keperluan tenaga kerja dalam industri itu makin berkembang sama ada di dalam atau luar negara.

“Ketika ini, Kolej Uniti mempunyai 3,000 penuntut di tiga fakulti yang menawarkan 18 bidang pengajian manakala Kolej Jaiputra memiliki 500 penuntut dan menawarkan enam bidang pengajian peringkat diploma,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 10:47 AM