Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke HPD. - Foto MOHD KHIDIR ZAKARIA
Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke HPD. - Foto MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seorang penuntut Kolej Uniti maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 17.6 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) berhampiran susur Lukut di sini, hari ini.

Kejadian 7.40 pagi itu berlaku ketika Jailani Sufni, 20, yang menunggang Honda Wave, dalam perjalanan dari arah Seremban untuk ke kolej berkenaan di Pasir Panjang.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati motosikalnya hilang kawalan sebelum terbabas menyebabkan mangsa terjatuh.

"Mangsa parah di kepala dan disahkan maut di tempat kejadian. Mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk bedah siasat.

"Polis masih mengesan waris mangsa yang berasal dari Kampung Damai Kuang, Rawang, Selangor," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 2:24 PM