AMIR Hamzah (dua dari kanan) bersalam dengan Mohd Firdaus Md Radzali pada majlis pelancaran Tabung Pendidikan Uniti Star. FOTO Mohd Amin Jalil.
AMIR Hamzah (dua dari kanan) bersalam dengan Mohd Firdaus Md Radzali pada majlis pelancaran Tabung Pendidikan Uniti Star. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


KOLEJ Uniti Port Dickson dengan kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) melancarkan Tabung Pendidikan Uniti Star dengan dana permulaan sebanyak RM300,000.

Tabung itu bertujuan membantu penuntut kurang kemampuan dan golongan berpendapatan rendah (B40) dari Negeri Sembilan yang melanjutkan pengajian di kolej berkenaan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Uniti, Amir Hamzah Md Isa berkata, setiap penuntut yang berjaya melanjutkan pengajian di Kolej Uniti akan menerima RM300, sekiranya layak dan melepasi saringan dilakukan.

“Biasanya, penuntut yang berjaya masuk ke Kolej Uniti akan dikenakan bayaran pendaftaran sebanyak RM1,000.

“Tetapi mereka yang terpilih menerima bantuan ini hanya perlu membayar RM700, manakala bakinya dilunaskan tabung berkenaan, dan penuntut tidak perlu membayar balik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Silaturrahim Fi Murabbi GPMS Cawangan Negeri Sembilan, di Seremban, hari ini.

Turut hadir, Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Mohamad Mazlan Wahab; Setiausaha Agung GPMS, Asri Abu Zarin dan Pengerusi GPMS Negeri Sembilan, Mohd Firdaus Md Radzali.

Amir Hamzah berkata, bantuan ini secara tidak langsung dapat meringankan beban penuntut dan keluarga, sekali gus mengelakkan mereka hilang minat untuk melanjutkan pelajaran.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya mensasarkan seramai 1,000 penuntut dari keluarga B40 akan mendapat manfaat daripada tabung berkenaan.

Menurutnya, pihaknya bersama GPMS akan mengadakan jelajah di sekolah untuk memaklumkan mengenai kemudahan ini.

“Pelajar perlu memohon melalui guru kaunselor di sekolah sebelum dimajukan kepada GPMS Negeri Sembilan,” katanya yang memaklumkan Kolej Uniti menawarkan 17 bidang pengajian tahun ini.

Sementara itu, Asri berkata, GPMS komited untuk memainkan peranan proaktif untuk membantu penuntut kurang berkemampuan melanjutkan pengajian peringkat diploma dan ijazah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 4:58 PM