ORANG ramai mengutip kepah yang terdampar di Pantai Mempisang.
ORANG ramai mengutip kepah yang terdampar di Pantai Mempisang.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Kejadian jutaan kepah naik ke darat di sepanjang Pantai Mempisang, Serinkin, Endau, sejak Selasa lalu dikenali sebagai fenomena ‘wash up’.

Fenomena ‘wash up’ atau penghanyutan dan pendamparan hidupan ke pantai itu biasanya berlaku akibat arus laut yang kuat menyebabkan hidupan seperti kepah terdampar di darat.

Ketua Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Mohd Salleh Kamarudin berkata, fenomena itu sememangnya boleh berlaku lebih-lebih lagi dalam keadaan musim tengkujuh ketika ini.

“Arus kuat monsun boleh mengocak dasar laut cetek di kawasan berhampiran dan menghanyutkan kepah ke pantai.

“Manakala air pantai yang surut secara graviti dengan perlahan-perlahan akan membuatkan kepah ini terdampar,” katanya.

Mohd Salleh berkata, punca berlakunya fenomena itu yang dikaitkan dengan arus laut yang kuat adalah alasan kukuh yang boleh diterima berikutan keadaan kepah naik ke darat itu dilaporkan masih hidup.

Beliau berkata, fenomena ‘wash up’ ini juga pernah berlaku di Afrika Selatan, Disember tahun lalu dan di Connecticut, Amerika Syarikat serta Hua Hin, Thailand, dalam tempoh sama.

Mengenai sama ada kepah itu selamat dimakan atau tidak, Mohd Salleh berkata, ia selamat jika benar dilaporkan masih hidup.

“Ada dua faktor menentukan sama ada kepah yang naik ke darat itu selamat dimakan atau tidak iaitu jika ia masih hidup dan jika kawasan laut di Pantai Mempisang itu tidak mengalami sebarang pencemaran atau bukan kawasan air pasang merah,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan fenomena pelik apabila jutaan kepah naik ke darat sehingga menyebabkan orang ramai termasuk dari luar daerah Endau datang beramai-ramai untuk menyaksikan fenomena itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 3:28 AM