PEMENANG pertama, gambar menunjukkan seorang lelaki menyerahkan seorang bayi di bawah kawat berduri di sempadan Serbia dan Hungary yang dirakam pada 28 Ogos tahun lalu.
PEMENANG pertama, gambar menunjukkan seorang lelaki menyerahkan seorang bayi di bawah kawat berduri di sempadan Serbia dan Hungary yang dirakam pada 28 Ogos tahun lalu.

Amsterdam: Gambar seorang pelarian menyerahkan bayi di bawah pagar kawat berduri memenangi hadiah berprestij Anugerah Fotografi Akhbar Dunia semalam.

Gambar diambil jurugambar bebas Australia Warren Richardson itu, bertajuk ‘Hope for a New Life’ (Harapan untuk Hidup Baru) merakamkan drama di sempadan Serbia dan Hungary, ketika lebih sejuta orang cuba mencari perlindungan di Eropah pada 2015, hampir separuh daripadanya rakyat Syria yang melarikan diri dari perang saudara di negara mereka.

Agensi berita Perancis, AFP, meraih empat anugerah termasuk wartawan berpangkalan di Syria, Sameer Al-Doumy dipilih juara kategori Spot News Stories bagi gambar dirakam sejurus serangan udara di Douma, berhampiran Damsyik.

Perang sejak hampir lima tahun di Syria meragut lebih 260,000 nyawa dan Sameer berkata dia berharap tidak lagi perlu mengambil ‘gambar meruntun jiwa’ seperti itu selain berharap ia dapat membuka mata dunia untuk berusaha menamatkan konflik berkenaan.

Jurugambar veteran AFP, Roberto Schmidt memenangi tempat kedua untuk Spot News Stories bagi gambarnya yang dramatik mengenai salji runtuh di Gunung Everest akibat gempa bumi melanda Nepal, April tahun lalu.

Bulent Kilic, yang berpangkalan di Turki meraih tempat ketiga bagi kategori sama untuk gambarnya mengenai pelarian Syria di sempadan Turki.

Hakim tahun ini - yang melihat penyertaan 82,951 gambar daripada 5,775 jurugambar di 128 negara - menganggap gambar diambil Richardson yang berbintik-bintik dan tidak jelas kerana diambil dalam keadaan gelap gelita pada waktu malam tanpa flash menghasilkan visual yang amat kuat dan menghantui pemikiran. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 9:29 AM