BAKRI mahu pemain tempatan manfaatkan Anugerah Puskas FIFA untuk buktikan diri mereka berkualiti. FOTO/NSTP
BAKRI mahu pemain tempatan manfaatkan Anugerah Puskas FIFA untuk buktikan diri mereka berkualiti. FOTO/NSTP
Syazwan Msar


“MANFAAT platform (Anugerah Puskas FIFA) sebaik mungkin untuk membuktikan pemain bola sepak Malaysia juga berkualiti.”

Itu harapan bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya tidak teragak-agak mencalonkan gol sepakan padu Syahmi Safari pada separuh akhir pertama Piala AFF bertemu Thailand, Disember lalu, untuk anugerah tahun ini.

Malah, beliau berkata, menerusi anugerah Puskas berkenaan nama Malaysia lebih dikenali di peringkat antarabangsa selain diingati sebagai negara yang mampu menghasilkan pemain berkebolehan walaupun pasukan Harimau Malaya tidak pernah beraksi di pentas Piala Dunia.

Beliau berkata, untuk menghasilkan gol yang boleh dikategorikan sebagai cantik dan berkualiti begitu sukar kerana memerlukan latihan secara intensif selain perlu berada pada kedudukan serta masa yang betul untuk menghasilkan gol.

“Pemain terkenal dan hebat pun belum tentu mampu menjaringkan gol yang diingati dan diperkatakan oleh orang ramai terutama membabitkan perlawanan penting.

“Jika kita tidak boleh menaikkan nama negara menerusi penyertaan Harimau Malaya di peringkat antrabangsa seperti Piala Dunia, lebih baik manfaatkan anugerah Puskas yang sudah tentu terbukti kita ada calon berkemampuan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Berita muka belakang akhbar ini Isnin lalu melaporkan hajat jutaan rakyat Malaysia untuk sekali lagi melihat anak tempatan dicalonkan bagi Anugerah Puskas akan terlaksana apabila FAM cukup serius mencalonkan gol berkenaan.

Gol umpama peluru berpandu bek kanan skuad Harimau Malaya itu sememangnya cukup cantik, ditambah beberapa siri hantaran mudah antara pemain negara dengan hanya membabitkan lapan sentuhan daripada penjaga gol tanpa dikekang lawan, nyata berkualiti dan mampu mencabar ratusan gol lain di seluruh dunia sepanjang 2018-2019.

Gol itu bukan saja mendapat pujian peminat bola sepak tempatan termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menganggap ia mirip jaringan legenda Brazil, Socrates, malah jaringan itu turut mencuri perhatian media serantau seperti Indonesia, Thailand dan Singapura yang percaya Syahmi mampu mengulangi kejayaan Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas 2016.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, FAM ada membincangkan dalam mesyuarat teknikal badan induk itu untuk mencalonkan gol Syahmi dengan tarikh tutup penyertaan sama ada September atau Oktober depan.

Katanya, menerusi mesyuarat awal itu, majoriti bersetuju untuk menyerahkan video dan pencalonan kepada FIFA, namun ia masih lagi belum dimuktamadkan.

Kelmarin, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu Arena Metro Sekretariat FAM akan bermesyuarat hari ini untuk memuktamadkan sama ada jaringan itu benar-benar layak dicalonkan bagi Anugerah Puskas atau tidak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 7:30 AM