SYAHMI (kiri) harap dapat ikut jejak Faiz.
SYAHMI (kiri) harap dapat ikut jejak Faiz.
Firdaus Hashim

"SYUKUR alhamdulillah... Saya harap gol itu dapat tercalon dalam tiga terbaik.”

Demikian harapan menggunung tonggak pertahanan negara, Syahmi Safari yang mengakui gembira apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bakal mencalonkan gol sepakan padunya ke Anugerah Puskas FIFA 2019 yang dilakukan ketika aksi separuh akhir kedua Piala AFF bertemu Thailand, Disember lalu.

Menurut pemain Selangor itu, dia langsung tidak menduga yang golnya itu akan dicalonkan FAM dan berharap dapat mengikut jejak Faiz Subri yang muncul pemain pertama dari Asia memenangi anugerah terbabit.

"Terima kasih kepada FAM kerana sudi hantar gol saya ke Puskas. Bagi saya FAM nak calonkan pun dah cukup baik dan bersyukur sangat.

"Selebihnya saya serahkan kepada Allah, kalau ada rezeki insya-Allah boleh menang. Dalam bola sepak tiada yang mustahil, lagipun saya ada terbaca anugerah itu dinilai bukan saja dari segi penyudah tetapi juga gerakan ia bermula.

"Gol itu bermula daripada gerakan bawah hingga ke atas, jadi untuk menang tak mustahil. Apapun, ini bergantung kepada FIFA dan rezeki," katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Menerusi pendedahan eksklusif akhbar ini pada Isnin lalu, FAM dilaporkan cukup serius untuk mencalonkan gol sepakan padu Syahmi ke Anugerah Puskas FIFA di Zurich, Switzerland.

Gol umpama peluru berpandu itu sememangnya cukup cantik ditambah dengan beberapa siri hantaran pendek antara pemain negara dengan hanya membabitkan tujuh sentuhan nyata sekali cukup berkualiti dan mampu mencabar ratusan gol lain di seluruh dunia sepanjang tempoh 2018/2019 ini.

Gol itu bukan saja mendapat pujian peminat bola sepak tempatan termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri malah jaringan itu turut mencuri perhatian media serantau seperti Indonesia, Thailand dan Singapura yang percaya Syahmi mampu mengulangi kejayaan Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas pada 2016 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 11:11 PM