PENUNJUK perasaan Vietnam melaungkan slogan anti-China ketika mengadakan perhimpunan sempena ulang tahun ke-37 perang sempadan Vietnam dan China di Hanoi, semalam.  Pelekat itu berbunyi “Kami tidak akan melupakan 17 Februari 1979.”
PENUNJUK perasaan Vietnam melaungkan slogan anti-China ketika mengadakan perhimpunan sempena ulang tahun ke-37 perang sempadan Vietnam dan China di Hanoi, semalam. Pelekat itu berbunyi “Kami tidak akan melupakan 17 Februari 1979.”
Agensi

Taipei: China dilapor menempatkan sistem peluru berpandu canggih bumi ke udara di sebuah pulau yang menjadi rebutan beberapa negara.

Jurucakap kementerian pertahanan Taiwan, Mejar Jeneral David Lo memberitahu wartawan semalam, peluru berpandu itu ditempatkan di Pulau Woody, sebahagian daripada rangkaian kepulauan Paracel yang dikuasai China sejak lebih 40 tahun lalu, tetapi juga dituntut oleh Taiwan dan Vietnam.

Dalam satu kenyataannya, kementerian luar China berkata, kemudahan pertahanan di pulau dan terumbu karang yang dikuasainya di Laut China Selatan sudah dilakukan sejak beberapa tahun lalu.

Ia menyifatkan laporan terbaru mengenai penempatan peluru berpandu itu sebagai dakwaan berlebihan dan menggesa media Barat memberi tumpuan terhadap usaha negara itu membina rumah api bagi meningkatkan keselamatan perkapalan di rantau itu.

“Mengenai peluru berpandu itu, ia selaras dengan hak untuk melindungi wilayah kami. Sudah menjadi tanggung jawab kami untuk melindungi.” kata Menteri Wang Yi.

China menuntut hak terhadap hampir semua Laut China Selatan dan bertindak membina landasan serta kemudahan lain di pulau buatan sendiri untuk mengukuhkan tuntutannya itu.

Vietnam, Malaysia, Brunei, Filipina dan Taiwan juga menuntut hak terhadap sebahagian pulau dan terumbu karang di kawasan itu.

Berita mengenai penempatan peluru berpandu itu tersebar ketika Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan pemimpin ASEAN menamatkan sidang kemuncak di California yang turut membincangkan perlunya meredakan ketegangan di Laut China Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 7:52 AM