Hanoi: Dua jet pejuang milik tentera udara Vietnam terhempas selepas bertembung ketika menyertai satu latihan di Laut China Selatan semalam.

Bagaimanapun, nasib juruterbang pesawat berkenaan masih belum dipastikan.

Akhbar Thanh Nien melaporkan, dua jet pejuang jenis Sukhoi Su-22 terhempas di perairan berhampiran wilayah Binh Thuan.

Tentera Vietnam sering mengadakan latihan ketenteraan di sepanjang pesisiran pantai negara itu.

Jet buatan Russia itu digunakan Vietnam untuk mengawal sebahagian Kepulauan Spratly yang dikuasai negara itu.

Vietnam ketika ini sedang bertelagah dengan China berhubung tuntutan beberapa buah pulau di Laut China Selatan.

Kedua-dua negara itu menuntut hak ke atas Kepulauan Paracel dan Spratly serta beberapa perairan yang kaya dengan minyak.

Ketegangan semakin memuncak pada tahun lalu apabila China mengalihkan pelantar minyaknya ke perairan yang dituntut Vietnam.

Tindakan itu mencetuskan bantahan terhadap Beijing di Hanoi yang menyebabkan beberapa kilang milik China dibakar.

China menguasai Kepulauan Paracel selepas merampasnya dari Vietnam yang ketika itu dikenali sebagai Vietnam Selatan dalam satu perang singkat pada 1974.

Selain China dan Vietnam, sebahagian kepulauan Spratly turut dituntut oleh Filipina, Malaysia, Brunei serta Taiwan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 9:38 AM