ASKAR China mengawal kawasan di Spratly atau dikenali sebagai Nansha di China. Papan tanda berhampiran tertulis ‘Nansha tanah kebangsaan kita, suci dan tidak boleh diceroboh.’
ASKAR China mengawal kawasan di Spratly atau dikenali sebagai Nansha di China. Papan tanda berhampiran tertulis ‘Nansha tanah kebangsaan kita, suci dan tidak boleh diceroboh.’
AFP

Beijing: Beijing membina kemudahan radar di pulau binaannya di kawasan yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan, kata badan pemikir Amerika Syarikat (AS).

Imej satelit terumbu karang Cuarteron di pulau Spratly dikeluarkan Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) yang berpusat di Washington, menunjukkan pemasangan radar berfrekuensi tinggi, termasuk rumah api, kubu bawah tanah, helipad dan peralatan komunikasi lain.

Pendedahan itu dibuat seminggu selepas pegawai AS mendakwa China melepaskan peluru berpandu ke udara di pulau Paracel, tambahan pula dengan ketegangan yang semakin memuncak di rantau ini.

“Kehadiran radar berfrekuensi tinggi di Terumbu Cuarteron secara tidak langsung meningkatkan keupayaan China memantau permukaan dan trafik udara dari utara, Selat Melaka dan laluan strategik penting lain,” kata Inisiatif Ketelusan Maritim Asia CSIS.

Imej terumbu kecil berhampiran kawasan yang China jadikan sebagai pulau buatan, Gaven, Hughes, dan Johnson South - mendedahkan ciri-ciri lain yang dikenal pasti CSIS berkemungkinan menara radar, lokasi senjata, kubu, helipad dan jeti.

Menurut CSIS, walaupun penempatan awal peluru berpandu darat ke udara HQ-9 ‘ketara,’ ia tidak menjejaskan keseimbangan kekuatan tentera di laut itu.

“Namun, tidak dinafikan kemudahan radar baru yang dibangunkan di Spratly nyata mampu mengubah pengoperasian di kawasan berkenaan,” katanya.

AS beberapa bulan lalu menghantar kapal perang untuk berlayar dalam lingkungan 12 batu nautika dari pulau yang menjadi pertikaian itu. Beijing menuntut hampir seluruh kawasan Laut China Selatan, dengan beberapa negara jiran lain turut mempunyai tuntutan di kawasan berkenaan, termasuk Taiwan.

Minggu lalu China mengesahkan ia meletakkan ‘senjata’ di Pulau Woody di Paracel kononnya kerana mempunyai kedaulatan untuk berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 9:49 AM