Zeti ketika hadir pada pelancaran Platform Akaun Pelaburan (IAP) hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi
Zeti ketika hadir pada pelancaran Platform Akaun Pelaburan (IAP) hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz melihat persaraan beliau pada April nanti tidak akan memberikan sebarang impak kepada kedudukan tukaran ringgit.

Menurutnya, mata wang tempatan itu dirangsang oleh pertumbuhan semasa di pasaran domestik dan antarabangsa tanpa melibatkan faktor individu.

Katanya, antara faktor domestik yang menyokong pergerakan ringgit ialah pertumbuhan ekonomi, lebihan perdagangan dan akaun semasa yang dicapai oleh negara di samping pencapaian di peringkat global.

"Ekonomi negara terus berkembang dengan pesat dan cemerlang dan esok, BNM akan mengumumkan laporan perangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku keempat untuk tahun lalu," katanya ketika ditemui pada pelancaran Platform Akaun Pelaburan (IAP) di sini hari ini.

Selain itu, Zeti berkata, proses pemilihan jawatan gabenor baharu bagi menggantikan tempat beliau terus berjalan lancar dan yakin keputusan pemilihan penggantian akan dibuat berdasarkan kelayakan yang terbaik untuk negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 5:53 PM