Kuala Lumpur: Pemulihan ringgit akan bergantung kepada perkembangan ekonomi dan sentimen terhadap keyakinan domestik.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, penyusutan ringgit bukanlah sesuatu yang unik untuk Malaysia kerana kira-kira 120 mata wang global turut susut berbanding pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS).

Mengulas mengenai sentimen terhadap keyakinan domestik yang melanda negara pada ketika ini, Zeti berkata, kerajaan perlu segera menyelesaikan kemelut berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jika mahukan ringgit kembali mendapatkan momentumnya.

“Orang ramai berhak untuk mengetahui perkara sebenar di sebalik siasatan ke atas isu terbabit selain kemelut politik yang lain.

“Sebagai institusi kewangan negara, BNM turut menjalankan siasatan ke atas perkara di bawah bidang kuasanya bersama pihak yang terbabit,” katanya pada sesi dialog di Forum Perkembangan Terkini Ekonomi Malaysia 2015 di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 5:00 AM