DR Zeti (dua dari kanan) beramah mesra dengan peserta ketika Seminar Statistical Science for a Better Tomorrow, semalam.
DR Zeti (dua dari kanan) beramah mesra dengan peserta ketika Seminar Statistical Science for a Better Tomorrow, semalam.

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengkaji prospek masa depan ekonomi dunia, selain kemelesetan semasa di Jepun, sebelum menyelaraskan dasar monetari menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, faktor lain yang turut diambil kira ialah fleksibiliti dasar dan sama ada ekonomi utama mempunyai keupayaan menyesuaikan langkah dalam menampung penurunan dalam ekonomi.

“Dasar monetari adalah dasar yang melihat ke hadapan. Oleh itu kami tidak sahaja melihat keadaan semasa yang sangat penting, bahkan turut melihat masa depan,” katanya di luar Persidangan Perangkaan Serantau ISI di sini, semalam.

Beliau berkata, bank pusat juga membuat penilaian ke atas faktor menyebabkan penurunan harga minyak dan sama ada ia bersifat sementara atau kekal.

“Sebagai contoh, jika anda melihat China, negara itu mempunyai lebihan fiskal. Oleh itu, negara berkenaan berada pada kedudukan untuk memberi sokongan jika ekonomi merosot lebih daripada yang dijangkakan.

“ Trend ini baru bermula dan kami memantau rapat untuk melihat tahap mana penurunan harga ini akan berhenti,” katanya.

Mengenai imbangan pembayaran Malaysia, beliau berkata, lebihan akaun semasa yang semakin kecil lebih baik daripada jangkaan memandangkan unjuran menjangkakan akaun semasa mengalami defisit.

“Kami menjangkakan pada suku tertentu, disebabkan pertumbuhan dalam jumlah pelaburan, ia (akaun semasa dalam imbangan pembayaran) sebenarnya mencatatkan defisit, namun sebaliknya. Oleh itu tahun ini, secara keseluruhannya kita mempunyai lebihan,” katanya.

Mengenai prestasi eksport Malaysia, beliau berkata, eksport negara melalui kepelbagaian lebih besar, dari segi pasaran serta produk dan kepelbagaian itu menyaksikan 60 peratus eksport negara adalah untuk rantau Asia, yang juga pusat pertumbuhan.

Zeti berkata, Malaysia juga menjadi model ikutan ekonomi lain dalam menggalakkan permintaan domestik untuk memacu ekonomi dan ekonomi Malaysia terus mencatat pertumbuhan kukuh walaupun berlaku sedikit penyederhanaan.

“Pertumbuhan kita menyederhana, daripada lebih enam peratus kepada 5.6 hingga 5.7 peratus. Ini menunjukkan pertumbuhan kukuh dalam persekitaran mencabar,” katanya.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:17 AM