AZLAN (empat kiri) bergambar bersama frontliners pada Majlis Pra-Ulangtahun Pertama Datum Jelatek 2023. FOTO Aswadi Alias
AZLAN (empat kiri) bergambar bersama frontliners pada Majlis Pra-Ulangtahun Pertama Datum Jelatek 2023. FOTO Aswadi Alias
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan anggota berseragam atau dikenali sebagai 'frontliners,' Datumcorp International Sdn Bhd (DCI) melancarkan program penghargaan Datum Care & Share sempena sambutan Pra-Ulangtahun Pertama Datum Jelatek 2023.

Ahli Lembaga Pengarah Bebas DCI, Datuk Azlan Abd Karim berkata, usaha itu adalah untuk menghargai segala pengorbanan dan perkhidmatan yang sudah diberikan kepada masyarakat terutama di persekitaran Jelatek daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan beberapa agensi yang lain.

"Umum sedia maklum 'frontliners' ini berperanan besar dalam memastikan keselamatan, kesihatan, kebersihan serta keharmonian masyarakat setempat berada dalam keadaan yang baik. 

"Ini menjadikan urusan seharian dan kehidupan kita semua berjalan sempurna. 

"Selain itu, Datum Care & Share ini adalah salah satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dari DCI dan ia juga mungkin akan dikembangkan kepada pihak lain pula seperti pihak media, sekolah, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program Datum Care & Share di sini, hari ini.

Menurutnya, objektif Datum Care & Share adalah untuk menghargai, menghulurkan bantuan dan sumbangan serta perhatian kepada masyarakat dan golongan tertentu mengikut keperluan dan situasi semasa. 

Katanya, ia adalah usaha dari DCI untuk masyarakat bagi meringankan beban serta membantu apa yang boleh diusahakan dalam skala yang kecil tapi berterusan. 

Datum Care & Share 1.0 ini khusus kepada anggota berseragam yang berada di persekitaran kawasan Jelatek, Setiawangsa, Keramat dan yang berada di pemukiman daerah Ampang. 

Selain itu, ia juga terbuka kepada seluruh anggota beruniform di Malaysia secara amnya. 

'Frontliners' yang berkunjung ke Datum Jelatek Shopping Centre, dengan berpakaian seragam dan memaparkan kad pengesahan anggota atau kad kerja (kad ID ) di kaunter utama aras bawah (Ground) layak untuk menikmati keistimewaan Datum Care & Share iaitu berupa baucer menarik yang disediakan. 

Sempena pelancaran Datum Care & Share satu gimik diadakan dengan aktiviti contengan mural 'Bridging The Community' sebagai simbolik kebersamaan semua pihak badan berunifom , masyarakat dan juga Datum Jelatek.

DCI anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Datum Jelatek Shopping Centre dibuka kepada umum sejak 26 November 2022 dan dirasmikan Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj, Raja Muda Selangor pada 10 Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 9:27 PM